home

search

Chapter 05 Perdebatan

  Apabila menjelang pagi, aku mula berangkat dan pergi ke Markas Hate untuk mengambil pakaian sekolahku. Walaupun ia basah disiram air semalam, nampaknya pakaian itu sudah mula kering dan dapat digunakan seperti biasa.

  Buku yang berada di dalam beg sekolahku tidak sama seperti dijadual sekolah. Beberapa buku penting yang aku perlukan sudah basah dan terpaksa aku tinggalkan disini untuk sementara. Tapi aku bernasib baik kerana masih ada beberapa buku tambahan yang aku simpan di dalam laci meja sekolah. Buku-buku itu tidak sebanyak yang biasa aku bawa, tetapi cukup untuk kegunaan hari ini. Rasanya, kalau ada buku yang tertinggal pun, aku masih boleh pinjam dari kawan-kawan sekelasku nanti. Lagi pun, mereka tak kisah, dan kami memang selalu saling membantu dalam hal sekolah.

  Kadang-kadang aku berfikir, betapa bergantungnya kita kepada orang sekeliling dalam perkara kecil seperti ini. Kalau ada masalah, kita sentiasa boleh harapkan rakan-rakan. Walaupun keadaan beg sekolahku agak berantakan dengan beberapa buku yang tidak teratur, aku tahu, selagi ada kawan yang boleh membantu, aku tak perlu risau sangat. Itu adalah salah satu sebab kenapa aku rasa beruntung dapat berada dalam geng Hate—kami selalu saling menjaga dan menyokong.

  Setelah memastikan semuanya sudah siap, aku kembali semula ke rumah dan menuju ke sekolah. Sesekali aku terfikir, kehidupan ini penuh dengan kejutan, namun kalau kita bersedia dan tidak mudah panik, segala-galanya pasti akan berjalan dengan baik. Sebagai remaja, mungkin tidak semua perkara berjalan lancar, tapi selagi ada usaha dan sokongan daripada kawan-kawan, aku tahu aku tidak akan pernah keseorangan.

  Aku mula berjalan ke sekolah, langkah demi langkah perlahan. Matahari masih belum menunjukkan sinarnya sepenuhnya, hanya kegelapan yang sedikit berbalut cahaya keemasan dari ufuk timur. Jalan yang ku lalui sunyi, hanya ada deru angin pagi yang menusuk kulit dan dedaunan yang bergemerisik seolah menyanyikan lagu penghantar. Perjalanan ini memakan sedikit waktu kerana markas Hate, tempat aku menghabiskan malam tadi, terletak agak jauh dari sekolah, lebih jauh jika dibandingkan dengan jarak rumahku. Namun, langkah ini memberi ruang untuk aku merenung, seolah-olah perjalanan ini adalah sebuah pengembaraan kecil sebelum berhadapan dengan rutin harianku.

  Setibanya aku di pintu masuk sekolah, aku mendapati diri aku menjadi orang pertama yang tiba. Tidak ada siapa pun di sana, hanya keheningan pagi yang masih segar. Udara subuh yang terasa dingin menyentuh wajahku, memberikan rasa nyaman dan kesegaran, seolah-olah membasuh segala penat dan resah dari kejadian semalam. Aroma embun pagi yang bercampur dengan wangi rumput basah mengisi paru-paruku, cukup untuk mengalihkan sejenak fikiranku dari kekusutan malam itu.

  Namun, walaupun suasana pagi ini seakan menenangkan, fikiranku masih bergelut dengan persoalan-persoalan yang tidak berjawab. Kenapa ada beg perak yang ditinggalkan di tempat itu? Siapa yang memilikinya, dan apa tujuannya? Lebih dari itu, mengapa geng terbesar di kota, Darkmetnest, sanggup ke wilayah utara untuk mengambil beg tersebut? Fikiranku melayang-layang, cuba mengaitkan peristiwa semalam dengan petunjuk-petunjuk kecil yang mungkin aku terlepas pandang.

  Aku berjalan perlahan ke arah kelas, langkahku terasa berat meskipun tiada beban pada bahuku. Kaki ini seolah-olah bergerak sendiri, sedangkan mindaku sibuk berputar mencari jawapan. Ruang koridor yang sunyi dan lengang hanya memperkuat gema langkah kakiku, menambah rasa kesendirian di pagi yang tenang ini.

  Sesampainya aku di depan kelas, langkahku terhenti. Aku berdiri di sana sejenak, memandang ke dalam kelas yang kosong tanpa seorang pun. Keheningan yang menyelimuti ruangan itu terasa asing, tetapi juga menenangkan. Bangku-bangku kayu yang tertata rapi, papan tulis yang masih bersih tanpa coretan, dan sinar matahari pagi yang menembus jendela, menciptakan bayangan lembut di lantai kelas. Segalanya terasa begitu damai, seolah-olah dunia sedang menungguku untuk mengisinya dengan cerita baru.

  Aku menarik nafas perlahan, membiarkan aroma pagi bercampur dengan wangi buku-buku pelajaran yang tersimpan di dalam kelas itu. Tanpa terburu-buru, aku melangkah masuk dan berjalan ke tempat dudukku di barisan kedua terakhir yang berada di tepi tingkap. Aku meletakkan begku di atas kerusi, lalu duduk, membiarkan tubuhku bersandar sejenak. Kepala yang masih dipenuhi fikiran tentang semalam mulai terasa berat, tetapi aku cuba mengabaikannya.

  Beberapa minit berlalu dalam kesunyian yang hampir memukau. Aku memandang keluar jendela, menyaksikan daun-daun bergoyang perlahan dihembus angin pagi. Namun, suara langkah kaki di koridor mulai memecah ketenangan itu. Satu demi satu pelajar mula tiba, membawa serta suara tawa, percakapan ringan, dan kehidupan ke dalam kelas yang sebelumnya sunyi. Suasana perlahan-lahan berubah, dari keheningan menjadi keramaian yang akrab. Aku melihat wajah-wajah yang biasa—teman-teman sekelas yang datang dengan semangat pagi mereka, meskipun beberapa terlihat masih mengantuk.

  Kelas mulai penuh, tetapi suasana tetap biasa saja. Tidak ada yang aneh, tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan sesuatu akan terjadi. Perbualan tentang kerja rumah, keluhan tentang ujian, dan cerita-cerita kecil menghiasi pagi itu. Semuanya berlangsung seperti hari-hari sebelumnya, seolah-olah semalam tidak pernah terjadi.

  ***

  Pagi itu, suasana kelas dipenuhi cahaya matahari yang menyinar lembut melalui tingkap. Poster-poster pendidikan menghiasi dinding, menambah seri pada ruang yang sudah kemas dan teratur. Meja-meja pelajar tersusun rapi, sementara papan putih di hadapan kelas masih memaparkan nota pelajaran hari sebelumnya. Murmur suara pelajar lain yang berbual-bual memenuhi udara, mencipta suasana yang santai sebelum kelas bermula.

  Di satu sudut kelas, aku duduk di tempat dudukku sambil menyemak buku catatannya yang berada di bawah meja. Tiba-tiba rakan sekelasku menghampiri dengan senyuman lebar, tangan memegang sesuatu yang berkilau di bawah cahaya pagi.

  “Weh, Adam, aku ada beli gasing ni. Macam mana, hebat, kan?” Dia mengangkat gasing itu, menunjukkannya kepadaku. Gasing itu bersinar, seolah-olah mencerminkan keyakinan buat dirinya.

  “Boleh lah… tapi mana tali dia?” aku menyoal, memandang gasing itu dengan sedikit skeptikal.

  “Aku simpan buat main nanti waktu rehat.” Dia tersenyum lebar, matanya bersinar-sinar memikirkan betapa dia akan menarik perhatian semua orang nanti.

  “Iya, yalah.” Aku hanya mengangguk perlahan, kembali melihat buku di bawah meja.

  Dari meja sebelah, seorang lagi rakan kelas ku datang, dia nampaknya tertarik dengan perbualan kami sebentar tadi, dia datang dan menyelit masuk memulakan perbualan baru.

  “Gasing? Kau beli kat mana tu? Aku nak tengok juga.” Dia menjenguk dengan rasa ingin tahu, seolah-olah ingin memeriksa kualiti gasing tersebut.

  “Kat kedai depan sekolah, murah je. Kau jangan usik lagi, aku nak tunjuk gerakan nanti." Nada suaranya sedikit tegas, mempertahankan gasing barunya dengan penuh semangat.

  Dari arah belakang kelas, seorang lagi rakan sekelasku datang menyampuk, suaranya sedikit mengejek dengan nada yang mengusik. “Gerakan apa yang kau ada? Silap-silap gasing tu putus terus.” Dia menyandarkan dagunya pada tangan, memberikan pandangan mencabar kepada rakan kelas ku yang mempunyai gasing itu.

  “Weh, jangan cabar aku. Nanti waktu rehat aku tunjuk gerakan pusing laju!” Matanya bersinar penuh keyakinan, membayangi dirinya yang berjaya memukau rakan-rakanku dengan kemahiran gasingnya.

  “Gerakan pusing laju? Harap-harap jangan sampai tali terbang kat kepala orang lain.” Aku bersandar pada kerusinya, meletakkan beberapa buku di sudut ruangan meja.

  Salah seorang dari mereka bertanya, “Eh, Adam, kau main gasing ke masa kecil?”

  “Main lah, tapi aku tak pandai sangat. Biasanya kalau aku main, tali asyik terputus.” Mendengar apa yang aku katakan, dia mula ketawa kecil.

  “Haha, patutlah kau tanya mana tali tadi. Trauma lama rupanya…" Kemudian ketawa besar, gembira dengan peluang untuk mengusikku.

  Seorang lagi bertanya, “Adam, kau trauma dengan gasing? Ini cerita baru ni.”

  Matanya bersinar penuh minat, seolah-olah dia baru saja menemui rahsia besar tentang kelemahan diriku.

  Aku membantah, “Eh, tak adalah trauma… Aku cuma nak pastikan kau tak buat masalah kat kelas nanti.” Aku cuba menjawab dengan tenang sebaik mungkin, membiarkan percakapan ini mati dengan sendiri.

  “Baiklah, baiklah. Tapi betul juga cakap Adam. Kalau kau buat kecoh waktu rehat, mesti cikgu disiplin tangkap gasing kau.” Dia memberikan nasihat dengan senyuman, tetapi ada sedikit ancaman tersirat dalam nadanya.

  “Tenang lah, aku mahir, okay? Kau tengok nanti.” Rakanku itu kemudian memusingkan gasing di tangannya, seperti ingin membuktikan kemahirannya. Wajahnya penuh keyakinan, walaupun jelas dia hanya mahu menang dalam usikan ini.

  Kelas kembali kepada suasana biasa, dengan rakanku bermain gasing di tangannya menunjukkan rasa bangga, seakan-akan tidak sabar menanti waktu rehat tiba untuk menunjukkan kemahiran yang lain. Aku hanya menyandar pada kerusi sambil melihat keluar jendela, membayangkan pelbagai kemungkinan dan kekecohan yang bakal berlaku nanti.

  Semasa memandang keluar tingkap, Siti mula bangun dari tempat duduknya dan datang kepadaku. “Adam, kau tahu tak, semalam aku beli sticker baru.”

  Aku memalingkan wajah ke arahnya, “Sticker? Hah, apa yang bagus sangat tentang sticker tu?" Siti duduk di kerusi yang berada di sebelah tempat dudukku.

  “Aku beli sticker adiwira, tau. Semua jenis adiwira yang kau suka ada Adam! Memang cantik kau tahu!" Siti berasa bangga dengan koleksi terbarunya, matanya berkelip-kelip ketika dia bercerita. Dia membelek-belek telefon bimbitnya, menunjukkan gambar-gambar sticker yang dia beli semalam.

  “Oh, itu ke yang kau tunjukkan dalam group tu? Kalau aku tengok, mesti sticker tu tak boleh tahan dengan panas!” Aku cuba mengusiknya, membayangkan sticker-sticker itu pudar akibat cuaca panas. Siti tersenyum mendengar ucapanku, tapi dia tahu dia akan tetap sukakan sticker-sticker itu.

  “Ha-ha, jangan nak gelakkan! Aku rancang nak lekat kat buku nota. Aku nak bagi nampak comel sikit. Kau mesti suka juga kan?” Siti bertanya cuba untuk mengetahui pendapatku. Dia begitu teruja untuk menghiasi buku nota dengan sticker yang baru dibelinya.

  “Hmm... sticker adiwira? Kalau aku yang lekat, mesti nampak macam budak-budak.” Aku mengangkat bahu, sambil tersenyum sedikit.

  Siti membalas, “Eh, tak kisah la! Orang tua pun, masih boleh suka benda ni. Jangan malu-malu. Aku suka sangat, sebab koleksi ni tak ramai orang ada.” Dia cuba untuk meyakinkan diriku, sambil mendekatkan telefon untuk menunjukkan lebih banyak sticker. Dia cuba untuk tunjukkan kepadaku bertapa uniknya sticker-sticker ini.

  “Okay, baiklah tapi aku rasa nak beli sticker anime je. Lagi bagus,” Aku memberi cadangan sambil tersengih. Aku mungkin tidak suka dengan sticker adiwira, tapi sticker anime mungkin lebih sesuai dengan citarasa diriku.

  “Sticker anime? Kau ni betul-betul sukakan animasi kan? Kena beli banyak-banyak nanti.” Siti tergelak kecil, memandangku dengan senyuman nakal. Dia tahu aku memang sukakan anime, dan dia agak teruja mendengar cadangan itu.

  “Ya, siapa cakap aku nak beli? Kalau aku beli, kau nak ikut tak?” Aku memandang Siti dengan senyuman. Aku tahu Siti suka berbincang tentang koleksi, jadi aku ingin lihat sejauh mana Siti terpengaruh.

  “Ha, kalau aku ikut, kemungkinan sticker tu akan habis.” Siti tertawa lebar, membayangkan kami berdua membeli sticker tanpa henti. Dia memang suka kumpul barang-barang baru, jadi ia tidak mustahil dia akan jatuh cinta dengan koleksi anime juga.

  “Okay, nanti aku tunjuk pada kau mana kedai sticker tu. Kalau kau minat, aku boleh belikan”

  “Betul ke? Jangan bagi janji kosong!”

  “Ya,” balas Siti dengan laju.

  “Janji! Tapi kau jangan lekat kat buku nota aku?”

  “Hahaha, aku lekatkan pada tempat lain.” Siti ketawa girang, membayangkan tempat-tempat yang lebih menarik untuk melekatkan sticker. Dia memang suka merancang perkara kecil yang membuatkan hidup lebih seronok.

  Perbualan kami terhenti seketika apabila cikgu masuk ke dalam bilik darjah, dan suasana kelas kembali tenang. Semua mata beralih kepada cikgu itu.

  ***

  Jam kelas berbunyi, dan guru yang ditugaskan untuk mengajar kami pun datang. Rakan sekelas ku telah mempersiapkan perangkap, hanya menunggu waktu sahaja. Mendengar tapak kaki dari koridor sekolah, guru itu melangkah masuk ke dalam kelas sambil memandang kami dengan tenang. Setelah itu, dia duduk di kerusinya dan mula mengambil kedatangan.

  Namun, ketika dia cuba berdiri, dia tersedar sesuatu. Kerusi yang didudukinya melekat pada seluarnya. Dia cuba menstabilkan diri dengan meletakkan tangan di meja, tetapi kertas-kertas di atas meja juga telah digam. Guru itu bergerak ke kiri dan kanan untuk melepaskan dirinya. Akhirnya, dia berjaya terlepas dari perangkap tersebut. Dengan wajah yang jelas kesal, dia berkata kepada kami:

  “Saya ingatkan kamu semua tidak akan kenakan saya untuk kali ni,” katanya dengan nada suara yang cuba dikawal. Pandangannya menyapu seluruh kelas, mencari sekurang-kurangnya seorang yang sudi mendengar, namun rakan sekelas ku hanya terdiam. Beberapa pelajar malah kelihatan seperti cuba menahan senyuman sinis.

  Cikgu Azman menegakkan badannya, kelihatan lebih berwibawa walaupun kelukaan di hatinya mungkin sudah bertambah. “Kenapa kamu semua selalu kenakan guru yang datang mengajar di kelas kamu? Tahu tak kami mengajar untuk masa depan kamu juga? Cuba fikir, apa yang akan terjadi jika kamu gagal dalam peperiksaan nanti.”

  Kata-kata itu bergema dalam kelas, namun aku hanya mampu menatap meja. Nasib bukan ditentukan dari sehelai kertas, bisik hati kecil ku, yang tidak sependapat dengan ucapan guru tersebut.

  Seorang pelajar yang sering berbicara lantang tanpa memikirkan akibatnya, mula bersuara, memecahkan kesunyian itu. “Bagi kami belajar bukanlah perkara yang penting,” katanya sambil mengangkat bahu acuh tak acuh.

  Pelajar yang duduk di belakangnya, menyambung, “Sekiranya kami gagal, masih banyak lagi pekerjaan yang boleh dilakukan.”

  “Ya, apa guna belajar kalau dewasa nanti kami kerja biasa.”

  Kata-kata mereka meluncur seperti belati, menusuk hati seorang guru yang hanya ingin melihat kami berjaya. Wajah Cikgu Azman berubah kelam, matanya sedikit mengecil. Setelah menarik nafas panjang, dia bertanya, “Jadi apa gunanya kamu datang ke kelas jika tidak ingin belajar?”

  Namun, mereka tidak berhenti di situ. Seseorang menjawab dengan nada yang sama angkuhnya, “Sudah tentu untuk menghabiskan masa kami.”

  Kelas tergelak kecil, namun tawa itu terhenti apabila pelajar yang duduk di sudut bilik menyambung dengan lebih berani, “Cikgu tak perlu lah menghabiskan masa untuk mengajar kami. Semua tu hanya sia-sia, bukannya kami nak dengar dan hafal semua yang cikgu ajar kan.”

  Setiap kata-kata itu bagaikan batu berat yang dilemparkan ke arah Cikgu Azman. Wajahnya yang tadi suram kini berubah serius, seolah-olah menahan kemarahan yang hampir meluap. Dia berdiri diam seketika, cuba menenangkan dirinya sebelum bersuara semula.

  “Kamu semua fikir begitu? Jadi kamu anggap usaha kami guru-guru ini sia-sia sahaja? Kamu fikir masa depan kamu sudah dijamin tanpa sebarang usaha?” Nada suaranya sedikit meninggi, tetapi masih terkawal. Dia melangkah ke depan kelas, pandangannya tajam menusuk ke arah kami, satu per satu, seperti sedang mencari sesuatu yang tersembunyi dalam hati kami.

  Kelas itu sunyi sejenak setelah Cikgu Azman menutup mulutnya, matanya memandang kami semua dengan pandangan yang penuh makna. Wajahnya yang tadi tegang kini berubah serius, menggambarkan gabungan rasa kecewa dan harapan. Hembusan nafasnya kedengaran, panjang dan berat, seolah-olah dia sedang berusaha menenangkan dirinya.

  “Jadi kamu semua tidak kesian dengan ibu bapa kamu yang telah membesarkan kamu hanya untuk menghabiskan masa dan wang mereka,” katanya, nadanya tegas, tetapi ada getar emosi di setiap patah perkataannya. Dia melangkah perlahan ke tengah kelas, pandangannya menyapu setiap wajah kami, mencari tanda-tanda keinsafan yang mungkin masih ada.

  “Apa yang akan terjadi jika mereka mati dan kamu membesar dalam keadaan yang susah? Tentu kamu akan melakukan pekerjaan yang kotor demi menyara hidup kamu.” Suaranya semakin dalam, penuh dengan rasa sedih yang cuba disembunyikan.

  If you encounter this narrative on Amazon, note that it's taken without the author's consent. Report it.

  Aku mula terasa dengan kata itu. Perkataan "pekerjaan yang kotor" seperti menggegar fikiran aku. Tidak dapat aku bayangkan, dalam keadaan yang sukar, aku perlu menjatuhkan maruah demi kelangsungan hidup.

  Cikgu Azman menyambung lagi, kali ini dengan nada yang lebih tajam, seolah-olah mahu memastikan kami semua benar-benar mendengar. “Tentu kamu akan mencuri, merompak, atau mungkin menjual harga diri semata-mata kerana wang.”

  Perkataan itu menusuk seperti pisau tajam, dan aku dapat lihat beberapa rakan sekelas menundukkan pandangan mereka, mungkin cuba mengelak daripada bertemu mata guru kami.

  Dia berjalan perlahan ke arah meja guru, sebelum berpaling semula ke arah kami. “Kamu sepatutnya bersyukur kerana masih punya ibu bapa. Cuba bayangkan kalau kamu tidak ada mereka, tentu kamu akan melepak di tepi jalan tanpa melakukan apa-apa atau lebih teruk lagi jadi pengemis yang hanya tahu meminta wang.”

  Kata-katanya disambut dengan keheningan. Namun, seorang pelajar yang berada di belakang kelas, yang terkenal dengan pandangan sinisnya, bersuara dengan tenang dan penuh cabaran. “Jika seseorang dapat bertahan dengan cara yang kotor, kenapa menghabiskan masa untuk mencapai hal baru yang tak mungkin tercapai?”

  Beberapa pelajar lain mula saling berbisik, tetapi Cikgu Azman tidak menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti.

  Pelajar itu menyambung, nadanya semakin sinis. “Kami belajar bersungguh-sungguh, menghafal semua yang diajarkan, tapi semua itu tidak berguna di kehidupan nyata. Hanya membuang waktu.”

  Wajah Cikgu Azman berubah lagi. Kali ini, ada api semangat yang menyala di matanya. Dia tidak mengelak, malah berdiri tegak, memandang Pelajar tersebut dengan penuh keyakinan. “Kalau begitu, kamu fikir masa saya di sini ini tidak berharga? Saya tinggalkan keluarga saya, meluangkan masa dan tenaga untuk memastikan kamu mendapat ilmu. Tapi ini balasan yang saya dapat?”

  Suaranya sedikit meninggi, namun tidak hilang kawalan. Dia menahan nafas, seolah-olah mahu memberi impak pada kata-katanya. “Kamu mungkin rasa belajar itu sia-sia sekarang, tapi hidup tidak selamanya tentang apa yang kamu fikir hari ini. Dunia ini penuh dengan cabaran, dan tanpa ilmu, kamu akan jatuh berkali-kali tanpa tahu bagaimana untuk bangkit!”

  Kelas kembali senyap. Cikgu Azman melangkah perlahan ke depan kelas, mengambil nafas dalam-dalam sebelum melanjutkan dengan nada yang lebih lembut, tetapi tetap tegas.

  “Kamu tahu kenapa saya masih datang ke sini walaupun kamu semua selalu kenakan saya?” Dia berhenti sejenak, memandang kami satu per satu, seolah-olah mahu memastikan setiap seorang menangkap maksudnya. “Kerana saya percaya, satu hari nanti, salah seorang daripada kamu akan sedar. Kamu akan faham bahawa usaha saya ini bukan untuk saya, tapi untuk kamu sendiri. Dan apabila hari itu tiba, kamu akan ingat kata-kata saya. Tapi saya harap ia tidak terlambat.”

  Kata-kata itu menggantung di udara. Ada rasa bersalah yang mula menyelubungi hati aku, walaupun aku tidak mampu untuk bersuara. Cikgu Azman meneruskan, suaranya kembali bertenaga.

  “Saya percaya, dalam setiap seorang daripada kamu, ada potensi yang besar. Kamu mungkin tidak sedar sekarang, tapi apa yang saya ajar hari ini adalah untuk hari esok kamu, bukan untuk saya. Kalau kamu mahu terus membuang masa dan meremehkan usaha orang lain, itu pilihan kamu. Tapi ingat ini: masa yang kamu buang hari ini, akan menjadi penyesalan kamu suatu hari nanti.”

  Dia berhenti lagi, kali ini lebih lama. Tangannya mengusap peluh di dahinya, wajahnya kelihatan sedikit letih, namun tetap bersemangat. Dia memandang keluar tingkap, seolah-olah mencari kekuatan pada langit yang mendung.

  “Dunia tidak peduli kalau kamu pandai atau tidak. Tapi dunia sangat peduli pada siapa yang berusaha dan siapa yang tidak. Kalau kamu terus bersikap seperti ini, hanya ada dua tempat untuk kamu di masa depan: menyesali keputusan kamu sendiri atau menjadi beban kepada orang lain.”

  Kata-kata terakhir itu menutup ucapannya seperti pintu yang tertutup rapat. Aku tunduk, memandang meja di hadapan, tetapi hati aku bergelora. Adakah aku benar-benar mahu menjadi beban? Pertanyaan itu bergema dalam fikiranku, tanpa jawapan yang pasti.

  Kami saling berpandangan, terdiam tanpa kata. Suasana dalam kelas berubah menjadi sunyi, hanya terdengar deru kipas angin yang berputar perlahan. Kata-kata guru kami itu seperti duri yang menusuk hati, mengingatkan kami pada kenyataan yang sering kami abaikan. Namun, beberapa rakan sekelas hanya duduk tanpa ekspresi, seolah-olah tidak terkesan sama sekali.

  Cikgu Azman menghela nafas panjang, melirik sekilas pada kami sebelum mengambil kertas-kertas di mejanya. Dia membersihkan meja itu dengan perlahan, tangannya bergerak dengan penuh perhatian. Walaupun kata-katanya tadi tegas dan menusuk, kini dia tampak tenang. Dengan hati-hati, dia mengambil kapur putih dan mula menulis sesuatu di papan tulis. Keheningan menyelimuti kelas, tetapi suasana terasa berat, seolah-olah kata-katanya masih tergantung di udara.

  Beberapa pelajar mula menunjukkan rasa bersalah. Aku dapat melihatnya dari cara mereka menundukkan kepala, seolah-olah tidak mahu bertemu pandangan guru itu. Tetapi ada juga yang tetap acuh tak acuh, memandang keluar jendela atau sibuk mencoret-coret buku mereka.

  Cikgu Azman berbalik menghadap kami, tatapannya tajam tetapi penuh harapan. Dia menatap kami satu persatu, seolah-olah sedang mencari seseorang yang benar-benar mendengarnya. Suaranya terdengar lebih tenang kali ini, tetapi ada tekanan yang jelas dalam setiap katanya.

  “Baiklah kita mulakan dengan soalan yang mudah. Apa cita-cita dan impian kamu semua? Kalau kamu tidak mahu belajar, kerja apa yang akan kamu ambil?”

  Dia menunggu jawapan, membiarkan keheningan menggantung di kelas. Beberapa saat berlalu, sebelum akhirnya pelajar yang duduk di belakang, menyahut dengan nada sinis.

  “Impian dan cita-cita, itu semua tidak penting. Kami boleh je mencuri kalau kami mahu. Bukan susah pun.”

  Ucapan itu disambut dengan tawa kecil dari beberapa pelajar lain. Nada suaranya yang angkuh menambah ketegangan dalam ruangan itu. Cikgu Azman mengerutkan dahi, tetapi dia tetap berdiri tegak di depan kelas, tidak menunjukkan tanda-tanda putus asa.

  Pelajar yang berada di hadapan pelajar tadi bersuara, “Betul tu... apa gunanya kami belajar semua ni kalau hasilnya nanti kami menjadi penganggur dan hanya bekerja biasa aja.”

  Pelajar berikutnya mengangguk, menyambung dengan nada kesal. “Kalau kami kerja sekalipun, duit yang kami dapat belum tentu cukup untuk hidup di tempat ni.”

  Suasana menjadi lebih tegang. Cikgu Azman berdiri diam, membiarkan mereka meluahkan segala pemikiran mereka. Tetapi jelas dari wajahnya, dia sedang menyusun kata-kata yang akan disampaikan.

  “Jadi apa yang kamu akan lakukan untuk teruskan hidup? Menjadi samseng?”

  Pertanyaannya dilontarkan dengan nada tenang dan tegas. Namun, jawapan pelajar tersebut datang dengan cepat, seolah-olah dia telah lama memikirkan hal itu. “Ya,” katanya tanpa ragu. “Kami dengar mereka dapat duit dengan mudah. Jauh lebih banyak daripada bekerja.”

  Beberapa pelajar lain ketawa kecil mendengar jawapan itu, tetapi ada juga yang mulai resah. Seorang lagi menyambung, kali ini dengan nada lebih santai dan tajam. “Kalau untuk dapatkan duit, jual narkoba juga boleh. Lagipun kerja tu tak susah mana pun.”

  Cikgu Azman mengangkat kening, matanya membulat sedikit, tetapi dia masih menjaga ketenangannya. “Kamu tahu keburukan yang akan terjadi pada kamu nanti?” tanyanya, cuba memancing kesedaran mereka.

  Namun, jawapan dari para pelajar sangat mengejutkan. “Tak... tapi masih lebih baik dari belajar perkara tak berguna,” kata seseorang dengan wajah dingin.

  “Kami tetap taknak belajar...”

  “Ya betul tu...”

  Cikgu Azman berdiri diam, matanya memandang mereka dengan tajam. Ruangan itu terasa semakin panas meskipun kipas angin terus berputar. Aku dapat merasakan gelombang ketegangan yang memuncak. Kata-kata mereka, walaupun pedas, seperti membangkitkan sesuatu dalam diri guru kami. Dan aku hanya mampu duduk terpaku, merasakan campuran antara rasa bersalah dan ketakutan terhadap masa depan yang mereka bayangkan.

  Suasana kelas menjadi tegang. Deru kipas angin yang berputar perlahan seolah-olah menggema dalam keheningan, membawa rasa berat dari setiap kata yang dilontarkan oleh rakan sekelas. Wajah Cikgu Azman kekal tenang, tetapi matanya menyimpan seribu satu perasaan—kekecewaan, kemarahan, dan juga sedikit kesedihan.

  Dia berhenti menulis di papan putih, lalu memandang kami semua. Pandangannya tajam, tetapi bukan untuk menakutkan, melainkan untuk menyentuh hati kami yang keras. Dengan langkah perlahan, dia berjalan ke hadapan kelas. Suaranya rendah, tetapi penuh makna.

  “Kamu semua fikir mudah menjadi samseng? Menjual narkoba? Mencuri? Kamu fikir itu penyelesaian?”

  Dia berhenti sejenak, menunggu jawapan yang tidak kunjung tiba. Mata kami saling berpandangan, tetapi tidak seorang pun berani bersuara. Namun, seorang pelajar, yang terkenal dengan sikap sinisnya, akhirnya menjawab dengan nada acuh tak acuh.

  “Ya, kami fikir begitu. Kalau itu boleh dapat duit cepat, kenapa tidak?”

  Beberapa rakan sekelas ketawa kecil, tetapi tawa itu hambar, tanpa semangat. Sepertinya mereka cuba menutupi rasa bersalah di hati masing-masing. Cikgu Azman menarik nafas panjang, lalu menatap pelajar tersebut dengan mata yang penuh makna.

  “Mungkin kamu rasa itu jalan yang mudah sekarang. Tapi percayalah, setiap langkah dalam hidup ada akibatnya. Kalau kamu memilih jalan itu, kamu bukan hanya menghancurkan hidup kamu, tapi juga hidup orang lain. Orang yang kamu sayangi, kalau ada yang masih kamu sayangi.”

  Kata-katanya menggantung di udara. Kelas kembali sunyi. Aku sendiri mula merasa sesak, seperti ada beban yang menekan dadaku. Cikgu Azman meneruskan, kali ini dengan nada yang lebih lembut.

  “Kamu tahu, saya pernah lihat dengan mata kepala saya sendiri apa yang terjadi pada mereka yang memilih jalan seperti itu. Ada yang ditangkap polis, dipukul, dipenjara. Ada yang lebih buruk—kehilangan nyawa. Dan tahu apa yang paling menyakitkan? Melihat ibu bapa mereka menangis, menyesal, dan bertanya apa salah mereka hingga anak-anak mereka memilih jalan yang salah.”

  Beberapa pelajar menundukkan kepala, termasuk aku. Kata-kata guru kami itu terasa seperti tamparan yang tidak terlihat. Namun, beberapa pelajar, dengan sikap angkuhnya, masih tidak terkesan.

  “Tapi cikgu, hidup ni memang susah. Kadang-kadang, jalan yang salah itu saja yang ada.”

  Cikgu Azman tersenyum tipis. Dia menggeleng perlahan.

  “Hidup ini memang susah, tapi itu bukan alasan untuk menyerah. Kamu fikir saya tidak pernah susah? Saya pernah bekerja sebagai pencuci pinggan, pernah hidup dengan hanya makan nasi dan kicap. Tapi saya tidak menyerah. Saya belajar, walaupun saya tahu itu sukar. Kerana saya percaya, kalau kita berusaha, pasti ada jalan.”

  Kelas kembali hening. Kali ini, suasananya berbeda—ada rasa berat yang menggantung, tetapi juga kehangatan dari harapan yang cuba disampaikan oleh guru kami.

  “Kalau kamu semua memilih untuk tidak belajar, itu pilihan kamu. Saya tidak boleh paksa. Tapi ingatlah ini: setiap pilihan ada akibatnya. Pilihan kamu hari ini akan menentukan siapa kamu esok hari. Jadi, fikirkanlah dengan baik.”

  Dia kembali ke meja guru, mengambil pen dan melanjutkan menulis di papan putih. Tapi kali ini, tidak ada seorang pun yang berani bersuara. Semua terdiam, merenungkan kata-kata itu—termasuk aku. Kata-kata Cikgu Azman tidak hanya menggema di telinga, tetapi juga di hati. Adakah aku akan menyesali pilihan aku nanti?

  Cikgu Azman berdiri tegak, pandangannya tajam, dan suara tegasnya kembali menggema di kelas. “Dengar, sekarang kamu akan fikir yang hari esok tak penting tapi bila kamu meningkat dewasa nanti kamu akan fikir yang semalam adalah segalanya. Apa yang cikgu nak kata kamu perlu fikir masak-masak tentang apa impian kamu. Apa yang kita temui hari ini adalah berkat beribu orang terdahulu yang mengkaji ilmu dan mengubahnya kepada keajaiban, kalau tiada ilmu tiada pula teknologi yang kita miliki hari ini. Semuanya ciptaan dari orang terdahulu. Sebab tu pentingnya kerja. Lainlah kalau kamu bodoh sertai geng-geng diluar sana untuk melakukan kerja kotor.”

  Kata-kata Cikgu Azman seperti pisau yang menikam hatiku, seolah-olah menembusi setiap lapisan perasaan yang cuba disembunyikan. Aku menahan diri, mengetatkan bibir, sementara Siti yang duduk bersebelahan ku juga mula merasa marah, tetapi dia tetap mempamerkan wajah tenang, cuba menutup emosi yang berbaur di dalam dirinya. Namun, matanya tetap bersinar tajam, menunjukkan bahawa dia tidak terlepas dari rasa tidak puas hati.

  Mereka mula bersuara kembali membantah kata-kata Cikgu Azman “Apa guna kami belajar lebih sedangkan pada akhir kami cuma bekerja biasa. Lagipun ia merugikan masa dan kerja kami.”

  “Betul tu. Lebih mudah jual dadah — tak perlu lesen, tak perlu penuhi syarat daripada agensi kerajaan. Tapi kalau nak jual beras, kena lesen. Jual gas, kena lesen. Jual gula, minyak, tepung, semua pun kena lesen. Proses mohon lesen pula susah, kena hadap kerenah birokrasi dari pelbagai agensi. Kadang terasa, baik jadi warga asing yang menetap di negara ni.”

  Suasana dalam kelas semakin tegang, seperti dua pihak yang saling bertentangan. Cikgu Azman mengangkat kepala, menatap mereka satu persatu dengan pandangan tajam, lalu suaranya yang tegas kembali membentak, “Kamu tahu yang jual dadah itu adalah duit haram?”

  “Ya, tapi kalau dah terdesak nak buat macam mana. Itu ja caranya.”

  Aku yang duduk dengan tenang, memotong perbualan. “Cikgu tahu, sebanyak 70% orang yang ambil jurusan di universiti tak bekerja dalam bidang yang mereka belajar. Jadi, apa faedah semua tu?”

  “Maksud kamu dalam negara ini?”

  Aku menghela nafas, masih bersandar di kerusi dengan gaya santai dan penuh keyakinan. Kedua-dua kakinya diletakkan di atas meja, dengan aura seorang pemimpin yang siap untuk bertarung. “Bukan, ini statistik global. Tapi, situasi dalam negara kita tak jauh beza pun. Sistem pendidikan kita terlalu fokus pada teori, kurang pada realiti. Jadi, akhirnya ramai tersasar dari bidang masing-masing.”

  Kelas menjadi sunyi seketika. Semua mata tertumpu kepada diriku yang kini kelihatan seperti raja dalam arena debat.

  Aku menyambung lagi, “Jadi, apa guna sistem pendidikan kalau akhirnya ramai yang tersasar dari bidang masing-masing? Kalau permainan ni dah tak membantu pemain untuk menang, apa gunanya terus bermain?”

  Sekali lagi, kelas menjadi sunyi. Semua mata tertumpu padaku, seolah-olah mereka kini melihat dunia dari perspektif yang berbeza. Setiap kata-kata menyentuh sesuatu yang lebih dalam, sesuatu yang tidak dapat dijawab dengan mudah.

  Cikgu Azman membuka mulut untuk memberi penjelasan, tetapi sebelum itu, aku menyambung lagi dengan suara yang lebih mendalam.

  “Cikgu, saya tahu apa yang saya cakap mungkin kedengaran kasar. Tapi, realitinya, ramai di luar sana terpaksa pilih jalan salah bukan sebab mereka mahu, tapi sebab sistem ni yang buat mereka tak ada pilihan lain. Kalau tak ada reformasi, masalah ni akan berulang.”

  Kata-katanya membuatkan pelajar lain termenung, berfikir jauh ke dalam diri mereka. Bahkan, Cikgu Azman yang biasanya begitu tegas kini terdiam, memikirkan kembali pandangannya. Aku, dengan gaya tenang, mencetuskan percikan pemikiran yang membuatkan semua orang di dalam bilik ini mempersoalkan bukan sahaja sistem, tetapi juga diri mereka sendiri.

  Kali ini aku menyambung lagi, dengan nada yang lebih bersemangat dan penuh kesedaran.

  “Jadi disebabkan sistem yang kucar kacir yang mengharapkan peperiksaan dan markas ketimbang teori yang kenyataan dunia. Membuatkan pelajar malas untuk pelajar. Lagipula subjek yang kami pelajar kemungkinan besar di masa hadapan kami akan lupa kecuali perkara asas yang penting.”

  Aku berhenti seketika sebelum menyambung kembali, “Jadi sebab itu banyak yang pilih jalan mudah untuk teruskan hidup dengan menjual narkoba terlarang. Tambahan untuk melanjutkan pelajaran memerlukan wang yang jumlahnya cukup besar. Kerajaan sepatutnya memberi dorongan namun apa yang saya perhati dalam negara kita ia disenyapkan. Hanya sekolah elit dan akademi terpandang sahaja yang mampu menolong tapi mereka hanya mengambil secara rawak dan memilih yang mana layak sehingga orang yang kekurangan memilih jalan salah untuk terus hidup. Jadi kesimpulannya, apa guna kami berlajar sedangkan masa depan kita masih belum menentu. Sehelai kertas tak mampu mengubah nasib kami.”

  Seseorang mendorong apa yang aku ucapakan, “Apa yang Adam cakap tu betul. Kawan saya yang bersekolah dulu kurang duit jadi dia bertarung dengan hidupnya untuk jual dadah dan dia jauh lebih untung ketimbang gaji guru yang mengajar.”

  Kelas sunyi seketika memandang kami dengan perasaan bercampur aduk. Membiarkan Cikgu Azman berfikir tentang beberapa perkara dan akhirnya dia bersuara.

  “Jadi kamu memandang dengan menjual dadah merupakan pekerjaan yang mudah dan dapat untung yang banyak? Kamu tahu apa risiko disebalik apa yang mereka lakukan?”

  “Semua perkara ada risiko tapi kami tetap dengan pendirian kami.”

  “Ya, lagipun kami tak mahu pelajar dengan gaji rendah. Lagipun markah peperiksaan yang kami dapat tak mengubah nasib dan gaji kami di masa hadapan. Jadi cukup jawap dengan main-main. Gaji kami tetap sama dan ini untuk semua orang.”

  Cikgu Azman berdiri tegak, wajahnya sedikit berubah. Suaranya kembali tegas, meskipun ada kesan keletihan di wajahnya. “Baiklah, ia bergantung pada usaha kamu. Kalau kamu semua berusaha lebih maka kamu akan dapat lebih dan pekerjaan yang selesa. Tapi kalau kamu malas belajar dan main-main dalam hidup, kamu juga yang akan rugi dan hasilnya kamu menyesal dan terpaksa kerja dengan status gaji yang rendah. Semuanya terpulang pada pilihan kamu sendiri. Dan lagi, dadah akan memudaratkan kamu dan juga jauh merugikan kamu dari bekerja.”

  Seorang pelajar yang duduk di belakang, mengangkat muka dan menambah, “Cikgu cakap macamlah cikgu tahu yang kehidupan kami macam mana. Kami makan pun susah, dah lah kos sara hidup dekat sini mahal. Mereka hasilkan wang dengan mudah dan juga dalam jumlah yang besar. Bukan kami mahu menelannya, cuma jual dan dapat untung.”

  Cikgu Azman mengeluh perlahan, matanya terfokus pada meja, seolah-olah merenung jauh ke dalam diri mereka. “Hidup ini tentang pilihan. Kalau kamu pilih untuk tidak belajar, itu keputusan kamu. Tapi jangan salahkan sesiapa jika kamu gagal mendapatkan kehidupan yang kamu impikan. Pilihan ada di tangan kamu. Saya hanya seorang guru yang cuba membantu, bukan memaksa.”

  Cikgu Azman menarik nafas panjang, lalu menatap setiap pelajar di dalam kelas. “Baik, lusa. Saya ada kejutan untuk kamu semua berkaitan dengan topik kita. Kalau kamu tak ingin hadir ke sekolah esok, itu terpulang pada diri kamu. Tapi untuk dua hari mendatang, pastikan semua hadir.”

  Dengan langkah perlahan, Cikgu Azman mengemas barang-barangnya. Suasana kelas menjadi semakin sepi, hanya ada bunyi derapan langkah kaki Cikgu Azman yang semakin menjauh. Pelajar-pelajar lain hanya saling berpandangan, tidak tahu bagaimana mahu memberi reaksi. Hanya ada rasa kekeliruan di wajah mereka. Ada yang terdiam, ada yang menggaru kepala, dan ada yang mengeluh, tetapi semuanya tetap terperangkap dalam rasa kebuntuan yang sama.

  Namun, dalam hati kecilku, aku tahu kata-kata Cikgu Azman ada benarnya. Mungkin sudah tiba masa untuk memikirkan kembali pilihan-pilihan hidup yang telah aku buat selama ini. Aku sedar, ada yang lebih besar daripada sekadar mencari jalan mudah. Ada harga yang harus dibayar, dan aku masih belum tahu apakah aku cukup kuat untuk menghadapinya.

  Aku menatap ke arah tingkap kelas yang terbuka, angin sepoi-sepoi berhembus masuk. Fikiranku mengembara jauh, teringat akan kata-kata Cikgu Azman. Dunia ini bukan sekadar hitam dan putih. Ada banyak pilihan, banyak jalan yang boleh diambil. Mungkin aku tidak akan berjaya hari ini, tetapi apakah esok masih ada peluang untukku?

  ***

  Setelah Cikgu Azman mengucapkan kata-kata terakhirnya, kelas kami seakan-akan terhenti sejenak. Semua pelajar memandang antara satu sama lain, saling bertukar pandangan dengan rasa ragu dan kebingungan. Ada yang masih berdegil dengan pendirian mereka, sementara yang lain kelihatan terkesan dengan kata-kata yang baru sahaja dilontarkan oleh Cikgu Azman.

  Di sudut belakang kelas, aku duduk dengan tenang, namun fikirannya sedang bergelora. Aku tidak mampu untuk menafikan bahawa ada kebenaran dalam apa yang Cikgu Azman katakan, walaupun cara penyampaiannya agak keras. Aku tahu kehidupan mereka tidak semudah yang disangka, dan jalan yang mereka pilih sering kali dipenuhi dengan cabaran. Tapi adakah mereka sudah terlalu jauh untuk berpatah balik?

  Seperti yang sering terjadi, Siti tetap tenang, menyembunyikan rasa marah dan kekeliruan yang bergelora dalam dirinya. Walaupun wajahnya kelihatan dingin, hatinya tidak serapuh yang ditunjukkan. Dia tahu bahawa situasi mereka tidaklah sesederhana yang diungkapkan oleh Cikgu Azman. Sistem pendidikan dan peluang yang terbatas bukanlah sesuatu yang boleh diselesaikan dengan kata-kata motivasi semata-mata.

  Pelajar-pelajar lain tidak kurang dengan perasaan yang bercampur-baur. Mereka kelihatan masih berpegang kepada pendapat mereka, mempercayai bahawa kehidupan mudah dan cepat kaya adalah jalan yang lebih praktikal. Mereka seolah-olah sudah kehilangan kepercayaan terhadap sistem yang ada, melihat dunia ini melalui kaca mata mereka yang penuh dengan kekecewaan dan ketidakadilan.

  Namun, apa yang lebih menarik perhatian adalah perubahan dalam diri beberapa orang pelajar. Meskipun mereka berpendapat bahawa sistem ini penuh dengan kelemahan, di dalam hati mereka, ada satu dorongan kecil yang menuntut jawapan. Cikgu Azman mungkin tidak memberikan jawapan mudah, tetapi ia mencabar kami untuk merenung kembali masa depan. Kata-katanya menampar wajah kami dengan realiti yang tidak dapat dielakkan lagi — setiap pilihan ada akibatnya.

  Kelas itu akhirnya bersurai. Setiap pelajar meninggalkan kelas dengan pelbagai perasaan yang tersimpan dalam hati. Aku, seperti biasa, berjalan keluar dengan gaya santainya, tetapi dalam fikirannya, gelombang pemikiran itu bergelora tanpa henti. Sebagai seorang yang tidak pernah takut untuk menentang arus, aku tahu bahawa jalan yang akan dipilih kelak tidak akan mudah. Tetapi mungkin, hanya mungkin, masa untuk berubah sudah tiba.

  Siti, yang berjalan di belakangku, sempat melirik ke arah Adam, menyedari bahawa walaupun Adam kelihatan tidak peduli, dia sebenarnya sedang memikirkan sesuatu yang lebih mendalam. Siti tidak berkata apa-apa, tetapi dia juga tahu bahawa mereka berdua perlu mengambil keputusan yang lebih besar, bukan hanya untuk diri mereka, tetapi juga untuk masa depan mereka dan orang-orang yang mereka sayangi.

  Cikgu Azman yang sudah meninggalkan kelas juga meninggalkan tanda tanya yang besar dalam hati setiap pelajar. Kejutan yang dijanjikan dalam dua hari mendatang itu, membuatkan kami semua tertanya-tanya, apakah yang akan diungkapkan oleh Cikgu Azman? Adakah ia sesuatu yang akan mengubah pandangan kami terhadap kehidupan?

  Bagi aku, masa depan masih kabur, tetapi satu perkara yang pasti, aku tidak mahu lagi terperangkap dalam sistem yang mengekang kebebasan dan impian. Aku bertekad untuk mencari jalan yang lebih bermakna, meskipun jalan itu penuh dengan liku-liku yang sukar. Kejutan itu mungkin akan menjadi titik permulaan kepada perubahan yang lebih besar dalam hidup kami, tetapi apakah pilihan yang akan kami buat? Itu masih menjadi misteri.

  Namun, satu hal yang tidak dapat dielakkan — kami harus membuat pilihan, dan pilihan itu akan menentukan masa depannya.

Recommended Popular Novels