13 Februari. Hari ini aku berjalan ke sekolah seperti biasa, menikmati suasana pagi yang segar. Aku terfikir untuk mencari Area untuk bertanya beberapa soalan, namun dia kelihatan agak sibuk sejak kebelakangan ini. Sudah beberapa hari kami tidak melihat kelibat Area, entah kemana dia pergi. Mungkin dia mempunyai urusan tertentu.
Apabila sampai di pintu gerban sekolah, aku mendapat terdapat sebuah bas diletakkan di tepi pagar sekolah. Namun aku tidak menghiraukan itu dan terus melangkah masuk ke dalam bangunan sekolah dan menuju ke kelas.
Dalam kelas, suasana seperti selalu—riuh dengan suara rakan-rakan. Ada yang berbual dan bergelak ketawa, ada yang sibuk makan di meja masing-masing, dan ada juga yang langsung tak peduli, lena tidur di tempat duduk. Aku duduk di tempat aku, cuba memikirkan apa yang nak dibuat hari ini, sebelum suara dari belakang memanggil.
“Weh, Adam. Kau ada nampak Area tak?” tanya Siti sambil menghampiri aku.
Aku menoleh ke arahnya sebelum menjawab, “Tak. Aku ada pergi ke tempat melepak kita semalam, tapi tak ada orang kat sana. Jadi aku terus balik rumah.”
“Hmm… Ya ka…”
Sudah tiga hari berlalu semenjak kami berdua terlibat dengan urusan kejiranan samseng dan peristiwa di rumah terbiar. Semalam aku tak buat apa-apa, cuma tidur seharian. Entah kenapa aku rasa sesuatu yang tidak kena, tapi aku abaikan saja perasaan itu buat masa sekarang.
Tidak lama kemudian, guru yang ditugaskan untuk mengajar kami datang ke kelas dengan langkah yang tegas. Dia meletakkan bukunya di atas meja sebelum memandang kami.
“Bagaimana keadaan kamu semua? Baik?” tanyanya semasa berjalan masuk ke dalam kelas.
“Alaa... ingatkan hari ni pun cuti,” rungut seorang pelajar.
“Yelah, baru nak buat pesta tadi,” sambung seorang lagi dengan nada kecewa.
Mereka semua mengeluh, berharap hari ini cuti seperti semalam dimana Cikgu Azman tidak hadir ke sekolah untuk mengajar kami. Aku memandang tingkap membaca semua gerakan dari pantulan cermin. Cikgu Azman berdiri di hadapan mejanya, sambil membelek buku yang ada. Dia bersuara, “Nampaknya kamu semua terlalu meremehkan pembelajaran dan keputusan hidup.”
Cikgu Azman berhenti dan mula menatap kami semua dengan pandangan tajam, “Baiklah, hari ini seperti yang dijanjikan, kita akan adakan satu lawatan.”
Mata kami membesar serentak. Lawatan? Tak ada siapa pun yang menjangkakan itu! Bisik-bisik mula kedengaran di seluruh kelas. Rasa teruja bercampur terkejut mula mengisi suasana.
“Ke mana, cikgu?” soal salah seorang pelajar.
Cikgu Azman hanya tersenyum kecil, jelas mahu menyimpan kejutan tersebut. “Kamu akan tahu bila kita sampai nanti. Sekarang, semua kemas barang dan bersiap. Kita akan bergerak sebentar lagi.”
Dengan itu, kelas kami menjadi riuh-rendah. Semua orang sibuk bersiap, tertanya-tanya apa yang bakal menanti kami dalam lawatan ini.
***
Kami menaiki bas yang telah menunggu di luar sekolah. Perjalanan singkat membawa kami ke sebuah lokasi yang dituju. Setibanya di sana, guru menyuruh kami turun dan memasuki sebuah bangunan usang.
Kami melangkah masuk ke dalam rumah yang kelihatan seperti sudah lama tidak dibersihkan. Bau masam dan hapak menusuk hidung, membuatkan beberapa rakan sekelas menutup hidung dengan tangan. Ruangan itu sempit, dengan perabot yang berdebu dan kusyen sofa yang berlubang di sana sini.
Di satu sudut, sebuah radio usang terletak di atas meja kecil yang hampir roboh. Dari pembesar suaranya, berkumandang lagu rap dengan irama kasar, liriknya lantang mengutuk segelompok manusia entah siapa. Bait-baitnya jelas membawa kemarahan, bagaikan cerminan kepada kehidupan mereka yang tinggal di rumah ini.
Di atas lantai, botol-botol kaca kosong berselerakan, beberapa di antaranya pecah. Kesan kotoran memenuhi permukaan dinding, seperti ia pernah dilanda pergaduhan yang tiada penghujung. Meja makan di tengah ruang dipenuhi pinggan mangkuk dengan sisa makanan yang sudah basi, mengeluarkan bau busuk yang meloyakan.
Di atas sofa, sepasang suami isteri terbaring dalam keadaan tidak sedar. Si lelaki berdengkur kuat, manakala wanita di sebelahnya, dengan botol kosong di tangannya, tampak seperti baru bangun. Matanya separuh terbuka, merah, dan penuh keletihan.
Kami berdiri kaku, tidak tahu bagaimana untuk bertindak. Guru kami, Cikgu Azman, melangkah ke depan. Dia menahan nafas, jelas terganggu oleh suasana ini, tetapi masih cuba bersikap tenang. “Baiklah, semua. Kita cuba berbicara dengan mereka,” katanya perlahan, suaranya hampir tenggelam oleh lagu rap yang masih berkumandang.
Tiba-tiba, si isteri itu memandang ke arah kami dengan mata yang masih layu.
“Helo, anak muda. Apa tujuan kamu ke sini?” tanyanya dalam suara serak.
Guru kami menjawab dengan sopan, “Kami datang sekadar untuk menjenguk kamu berdua.”
Wanita itu perlahan-lahan bangun, duduk di atas sofa yang kelihatan usang. Sementara itu, suaminya terus lena tanpa sedar. Wanita tersebut mengeluh panjang sebelum berkata, “Saya tak sangka ada tetamu sebanyak ini... Silakan duduk.”
Dia kemudian menghulurkan makanan kepada kami, tetapi jelas makanan itu sudah basi, menambah rasa jijik kami. “Kamu semua dari sekolah mana?” tanyanya lagi sambil memandang pakaian seragam kami.
Salah seorang daripada kami menjawab perlahan, menyebut nama sekolah kami. Mendengar jawapan itu, wanita tersebut mula berbicara sendiri, seperti tenggelam dalam fikirannya.
“Saya masih ingat waktu muda dulu... hidup penuh harapan, ramai kawan, dan masa depan tampak cerah. Tapi semua itu berubah bila kami mula ambil narkoba...”
Wanita itu terus berbicara, seolah-olah lupa kehadiran kami
Kami dibuat terkejut apabila seekor anjing tiba-tiba muncul dari arah dapur. Dengan bulu yang kusut dan mata yang sayu, ia melangkah perlahan ke tengah ruang tamu. Tanpa amaran, anjing itu terus membuang air di hadapan kami, menambahkan lagi suasana yang sudah sedia tidak menyenangkan.
Beberapa rakan kami menutup hidung, ada yang melangkah ke belakang, cuba mengelak daripada melihat pemandangan itu. Guru kami hanya menghela nafas panjang sebelum berkata dengan nada lembut, “Kita bersabar ya. Mari kita selesaikan lawatan ini dengan baik.”
Wanita yang tadi berbicara panjang kini menyedari kejadian itu dan tersentak sedikit.
“Maafkan anjing saya,” katanya dengan nada acuh tak acuh. “Dia memang begitu... tak terurus sejak kebelakangan ini.”
Kami saling berpandangan, tidak tahu bagaimana mahu memberi reaksi.
Ketika wanita itu cuba membersihkan najis anjing dengan kain buruk yang kotor, matanya tiba-tiba terpaku padaku. Dia terdiam seketika, seperti cuba memastikan sesuatu.
“Kamu masih hidup?” katanya, suaranya bergetar. Aku terkejut, tidak memahami apa maksudnya.
Dia menghampiriku, matanya mulai berkaca. “Memang kamu!!” serunya, suaranya kini bercampur antara rasa terkejut dan terharu.
Wanita itu menekup mulutnya dengan tangan yang gemetar, sebelum berkata dengan nada penuh kesedihan, “Mak terharu dapat jumpa kamu lagi. Maafkan mak, apa yang berlaku cuma kesilapan... Mak terlalu bodoh waktu itu... Kamu maafkanlah mak, ya?”
Ruang tamu yang tadi bising dengan suasana tidak menyenangkan menjadi sunyi. Semua mata tertumpu kepada kami. Aku tidak tahu bagaimana mahu memberi reaksi. Rasa bingung, terkejut, dan tidak percaya bercampur menjadi satu.
Guru kami melangkah ke hadapan, cuba mengambil alih situasi. “Mari kita tenangkan keadaan dahulu,” katanya lembut, memberikan ruang untukku menghadam apa yang baru berlaku.
Namun wanita itu tidak berganjak. Dia terus memandangku dengan penuh harapan, seperti seorang ibu yang akhirnya bertemu anak yang lama hilang.
“Adam, kau kenal ke perempuan ni?” tanya seorang rakan sekelasku.
“Tak adalah, aku tak kenal siapa dia,” balasku cepat, walaupun dalam hati aku masih cuba memahami apa yang sedang berlaku.
Siti, yang berdiri di belakang kami, segera bertindak. “Makcik, boleh tak makcik bergerak sedikit ke belakang?” pintanya dengan nada lembut, sambil menutup hidungnya. Dari jauh, aku dapat melihat dia cuba menahan rasa mual akibat bau busuk dari serpihan najis dan keadaan ruangan yang kotor.
“Baiklah, makcik. Dia ni kawan kami, Adam. Dia bukan anak makcik,” Siti menjelaskan dengan sopan. “Kami tak tahu apa yang sebenarnya berlaku, tapi kami semua cuma pelajar sekolah yang datang untuk menjenguk makcik.”
Wanita itu tidak membalas. Entah bagaimana, dia tiba-tiba terbaring semula di atas sofa dan mula tertidur. Kami semua saling berpandangan, kebingungan, sebelum guru kami memberi isyarat agar kami keluar dari ruangan itu.
Semasa kami menuruni tangga, seorang rakan sekelasku bersuara, memecah mencari penjelasan, “Kenapa pula kita kena melawat sepasang suami isteri yang mabuk macam tu?”
Guru Azman berhenti sejenak di tangga, memandang kami dengan wajah serius. “Apa yang kamu lihat tadi ialah kesan buruk daripada penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine dan alkohol. Dadah ini memusnahkan hidup mereka, membuatkan mereka hilang kawalan diri dan merosakkan hubungan keluarga. Saya mahu kamu semua melihat realiti ini, supaya kamu faham apa akibatnya jika terjerumus dalam perkara seperti ini.”
Kata-kata itu membuat kami terdiam. Masing-masing mula memikirkan apa yang baru kami saksikan. Perjalanan kami keluar dari bangunan itu terasa lebih berat, seolah-olah membawa bersama beban kesedihan dan pengajaran yang mendalam.
Aku keluar dari bangunan usang itu bersama rakan-rakan, tetapi fikiran aku masih terganggu oleh apa yang baru saja berlaku. Wanita itu, rumahnya, keadaannya—semuanya terasa seperti mimpi buruk yang nyata.
Aku cuba memahami apa yang cikgu Azman katakan tadi. Methamphetamine. Dadah jenis itu yang menghancurkan hidup mereka. Aku pernah dengar nama itu sebelum ini, mungkin dalam berita atau di poster pencegahan dadah. Tapi, apa sebenarnya methamphetamine?
Aku tahu ia adalah dadah sintetik, yang dibuat di makmal oleh orang yang tidak peduli dengan kesannya terhadap manusia. Dadah itu boleh buat orang berjaga lama, seperti mereka ada tenaga yang luar biasa. Tapi itu hanya permulaan.
Lama kelamaan, ia menguasai tubuh dan fikiran mereka. Aku bayangkan bagaimana wanita tadi mungkin bermula—mungkin dia mencuba hanya sekali, untuk lari dari masalah hidup. Tapi sekali sudah cukup untuk mengikatnya dalam kitaran ketagihan yang tak berkesudahan. Dadah itu merosakkan otaknya, membuatkan dia hilang kawalan diri, jadi agresif, malah mungkin halusinasi.
Methamphetamine juga memusnahkan tubuh fizikal mereka. Kulit jadi kering, gigi gugur, tubuh lemah. Dan itu belum lagi kesannya pada hidup sosial. Keluarga, kawan-kawan, pekerjaan—semuanya lenyap. Sama seperti pasangan dalam rumah tadi, terperangkap dalam kehidupan yang suram dan penuh kehancuran.
Aku cuba bayangkan kalau aku berada di tempat mereka. Bagaimana rasanya bila dunia seolah-olah berputar dalam kekosongan, hanya ditemani ketagihan? Aku menggigil memikirkannya.
Kehidupan pasangan tadi adalah pengajaran yang cukup jelas. Dadah bukan jalan keluar—ia adalah permulaan kepada akhir yang menyakitkan.
***
Tempat berikutnya ialah kawasan bagi sekumpulan samseng yang hidup di dalam kawalan perniagaan yang terlarang. Kawasan ini adalah tempat bagi samseng tertentu yang aku sendiri belum tahu siapa mereka. Tujuan Cikgu Azman hantar kami kesini kemungkinan untuk menunjukkan pada kami realiti sebenar kehidupan jalanan, yang sebenarnya aku sendiri telah laluinya. Hidup mereka tidak sesenang seperti yang rakan kelas ku katakan. Hidup mereka penuh cabaran dan penyesalan, sama seperti yang aku hadapi dengan Siti.
Siti dalam perjalanan ini hanya diam kerana tidak mahu identitinya terbongkar. Tentu beberapa samseng jalanan mengenali kami. Hanya beberapa daripada mereka. Namun mereka mempunyai kontrak, sekiranya mereka melihat kami. Mereka terpaksa sembunyikan identiti kami. Akan tetapi kejiranan ini tampak seperti tidak mengenali kami sama sekali dan aku berasa sedikit lega.
Dari kejauhan apa yang aku lihat Siti hanya berjalan sambil menunjukkan kepalanya ke bawah, mungkin untuk sembunyikan identitinya. Rakan sekelasku yang lain hanya melihat kiri dan kanan semasa berjalan dan guru kami hanya menjelaskan beberapa perkara yang mungkin membuatkan pelajar lain tersedar akan keburukan menjadi samseng.
“Mereka yang hidup di sini tidak tenang seperti mana orang yang berkerja umum. Ada diantara mereka yang dipenjarakan dan ada diantara mereka lari dari kejaran polis. Setengah dari mereka gila disebabkan dadah yang mereka ambil. Beberapa penjual narkoba juga terpaksa bersaing dengan penjual narkoba yang lain dalam bisnes mereka. Ada beberapa yang cuba untuk lari namun tidak berjaya. Sesiapa yang berkerja dengan geng-geng ini risiko yang terlalu tinggi sehingga ada diantara mereka akan peras ugut. Ini akan menjadi teruk untuk kamu mahupun keluarga kamu,” jelas Cikgu Azman membuatkan kami melihat bertapa teruknya kehidupan di sini.
Kami berjalan lebih dalam ke kawasan itu, suasana semakin suram. Jalan-jalan kecil dipenuhi dengan grafiti yang menceritakan cerita-cerita dari kumpulan-kumpulan samseng di kawasan itu. Beberapa lelaki berkumpul di sudut lorong, memandang kami dengan pandangan yang tajam, tetapi mereka tidak mendekati. Mungkin kehadiran Cikgu Azman sebagai seorang dewasa yang berautoriti menjadi sebab mereka menjauhkan diri.
Aku dapat melihat rakan-rakan sekelasku mulai gelisah. Langkah mereka semakin perlahan, dan bisikan kecil kedengaran di antara mereka. Tetapi Siti tetap diam, kepalanya tunduk ke bawah, cuba mengelak daripada menarik perhatian sesiapa. Aku tahu betapa berisikonya situasi ini bagi dia. Jika ada sesiapa yang mengenalinya, semuanya mungkin akan menjadi buruk.
“Cikgu, adakah mereka semua yang tinggal di sini terlibat dengan kegiatan samseng?” tanya salah seorang pelajar dengan nada takut-takut.
Cikgu Azman memandang ke arah pelajar itu sebelum mengangguk perlahan. “Tidak semuanya. Ada yang hanya penduduk biasa yang terperangkap dalam keadaan ini. Tapi mereka tetap hidup dalam ketakutan. Samseng-samseng ini sering kali memeras ugut, memaksa penduduk untuk bekerjasama dengan mereka. Kalau mereka menolak, nyawa mereka mungkin menjadi taruhan.”
Kami meneruskan perjalanan. Di salah satu sudut, aku melihat seorang lelaki muda, mungkin tidak jauh usianya dari kami, sedang duduk bersendirian di tangga sebuah bangunan yang sudah kelihatan usang. Pandangannya kosong, seperti seseorang yang telah kehilangan segalanya.
“Dia itu salah seorang yang mungkin ingin lari dari dunia ini,” kata Cikgu Azman tiba-tiba, menunjuk ke arah lelaki itu. “Tapi lari dari kehidupan ini tidak semudah itu. Mereka yang terjebak biasanya tidak diberi pilihan.”
Kata-kata itu membuatkan aku teringatkan sesuatu, memang beberapa geng jalanan mahu keluar dari dunia gelap ini. Siti dan yang lain juga cuba untuk lari dari kehidupan ini, tetapi kami terperangkap dalam keadaan yang rumit. Sekiranya kami keluar dari dunia kami sekarang, kami masih mempunyai kontrak, dan juga hidup kami sebagai geng jalanan menerima tugasan yang diberikan dari geng atasan yang lebih besar. Jadi ia sukar bagi kami untuk keluar dari situasi ini.
Selang beberapa minit, langkah kami terhenti seketika apabila beberapa lelaki keluar dari lorong kecil, memandang kami dengan penuh minat. Aku merasakan jantungku berdegup kencang. Salah seorang daripada mereka berjalan mendekati, tersenyum tipis tetapi jelas ada niat tersembunyi di balik senyuman itu.
“Pelawat?” Lelaki itu bersuara, suaranya dalam dan mengancam. “Apa yang cikgu dan budak-budak ni buat kat sini? Cari masalah ke?”
Cikgu Azman melangkah ke hadapan, melindungi kami. “Kami hanya lalu. Tiada apa-apa urusan dengan kamu atau sesiapa di sini. Kami cuma nak tunjukkan realiti kehidupan jalanan pada pelajar-pelajar ini.”
Lelaki itu ketawa kecil, tetapi matanya memandang satu-persatu wajah kami. Aku dapat rasakan pandangannya melekat lebih lama pada Siti. Namun, Siti tetap tunduk, tidak berani bertentang mata dengannya.
“Realiti, ya?” Lelaki itu berkata sambil tersenyum sinis. “Kehidupan kami ni memang realiti. Tapi realiti ni hanya untuk mereka yang kuat. Yang lemah, biasanya takkan lama di sini.”
Dia memandang kami sekali lagi sebelum melangkah pergi, tetapi aku tahu ancamannya tidak berakhir di situ. Aku memandang Siti, yang kini kelihatan lebih pucat daripada sebelumnya. Aku tahu, dia juga sedar betapa bahayanya situasi ini.
Ketika kami meneruskan perjalanan, aku mendengar suara bisikan di belakang, suara yang jelas ditujukan kepada kami.
“Pastikan mereka tak buat hal kat sini,” salah seorang lelaki itu berkata, sebelum suara mereka hilang di tengah-tengah hiruk-pikuk kawasan itu.
Semasa berjalan aku mendekati Siti, “Siti kenapa dengan lelaki tu?”
“Keadaan semakin bahaya Adam. Kalau salah seorang dari mereka tegur kita. Mungkin identiti kita sebagai geng jalanan akan terdedah.”
“Ya Siti, aku rasa perkara yang sama. Ada baiknya kita terus tunduk dan berada di tengah kumpulan agar identiti kita tak terbongkar. Untung sekali kejiranan dan samseng sekitar sedikit ramah ketimbang daerah lain.”
“Betul Adam. Haaa, sepatutnya kita harus lebih berhati-hati. Harap mereka tak tegur kita.”
Aku tahu Siti sedang panik memikirkan masalah yang mungkin kami hadapi sekiranya salah seorang dari mereka mula menegur kami. Namun, tampak keadaan semakin reda dan aku rasa mereka juga faham tentang situasi yang terjadi. Mungkin samseng itu perasaan dengan kehadiran Siti dan memilih untuk berpura-pura tidak mengenalinya.
“Oh ya, Siti. Kejiranan ini mereka kenal kau?”
“Sikit Adam, ada dua tiga orang yang kenal aku. Termaksud lah lelaki tadi.”
Kami terus melangkah perlahan, memastikan tidak menarik perhatian sesiapa di kawasan itu. Perbualan kami dilakukan dalam nada yang sangat perlahan, hampir berbisik. Aku dapat rasakan betapa tegangnya Siti ketika itu, dan aku sendiri tidak berani untuk menunjukkan sebarang emosi yang mungkin mencetuskan syak wasangka.
“Lelaki tadi tu kenal kau, Siti? Macam mana dia boleh kenal?” tanyaku lagi, kali ini lebih berhati-hati.
Siti menghela nafas panjang sebelum menjawab. “Aku ada datang ke kawasan ni dulu dengan geng jalanan lain atas urusan penting. Hanya sekali aja ke sini. Tapi aku tak tahu dia masih ingat aku atau tidak. Harapnya dia lupa.”
Aku memandang Siti dengan penuh rasa bimbang. “Kalau dia ingat, dan dia cerita pada orang lain... Kita mungkin dalam bahaya. Tapi buat masa ni, kita teruskan saja dan jangan buat apa-apa yang mencurigakan.”
Siti mengangguk perlahan. “Ya, Adam. Kita kena pastikan tiada siapa yang tahu siapa kita sebenarnya.”
Namun, aku tidak dapat mengabaikan firasat buruk yang semakin kuat dalam diriku. Kawasan ini mungkin tampak lebih “ramah” berbanding tempat lain, tetapi aku tahu bahawa senyuman di sini selalunya hanya topeng. Orang-orang di sini mungkin kelihatan tidak peduli, tetapi mata mereka sentiasa memerhati.
Kami berjalan lebih rapat di tengah kumpulan, seolah-olah mencari perlindungan di kalangan rakan sekelas kami. Guru kami, Cikgu Azman, masih menerangkan keadaan kehidupan jalanan, tetapi aku sukar untuk menumpukan perhatian. Fikiran aku hanya tertumpu pada apa yang akan berlaku jika lelaki itu memutuskan untuk bertindak.
“Siti,” aku berkata lagi setelah beberapa saat. “Apa kau rasa mereka akan buat kalau mereka tahu kita geng jalanan?”
Siti menoleh ke arahku, matanya penuh kebimbangan. “Mungkin mereka akan gunakan kita untuk sesuatu, Adam. Atau lebih buruk lagi, mereka akan laporkan kita pada geng besar yang mereka bekerja untuk. Itu risiko yang kita tak mampu ambil.”
Aku hanya mengangguk. Dia betul. Dalam dunia jalanan, kesetiaan tidak diberikan dengan mudah, dan rahsia seperti ini adalah mata wang yang berharga.
Dari sudut mataku, aku dapat melihat lelaki tadi masih berdiri di tempatnya, tetapi pandangannya kini tidak lagi fokus pada kami. Aku berharap itu adalah petanda baik. Namun, aku tahu betapa pantasnya keadaan boleh berubah di tempat seperti ini.
This tale has been unlawfully lifted from Royal Road; report any instances of this story if found elsewhere.
“Aku rasa kita kena teruskan perjalanan ini dengan lebih berhati-hati. Jangan ada sesuatu yang buatkan mereka boleh tertarik pada kita,” aku berkata dengan tegas.
Siti mengangguk lagi. “Ya, Adam. Aku pun rasa macam tu. Kita kena pastikan lawatan ni berakhir dengan selamat dan keluar dari masalah ni.”
Maka kami berjalan sambil berhati-hati di kawasan ini. Dalam masa yang sama juga, kami mendengar beberapa perbualan antara samseng-samseng tentang kehidupan di sini.
“Beberapa hari lepas pasukan SWAT ada datang kawasan ni untuk memeriksa.”
“Ya, mereka semua teruk.”
“Apa yang mereka cari?”
“Entah, untungnya mereka tak peduli pasal kami.”
“Hahaha, SWAT memang macam tu. Mereka ada undang-undang yang harus dipatuhi.”
“Pisau yang kau beli nampak cantik. Boleh aku pinjam?”
“Tak payah nak pinjam barang orang. Kalau nak, beli sendiri.”
“Syak ada polis cari kau.”
“Apa lagi yang mereka nak dengan tuduhan tak munasabah? Dadah tu aku dah buang lah.”
“Mereka bukan cari pasal dadah. Kali ni, mereka nak kau hentikan ganggu wilayah samseng di daerah timur.”
“Kenapa? Banyak penagih di sana. Untung besar kalau buat kerja kat situ.”
“Polis nak kau berhenti jual dadah. Keadaan di sana dah terlalu teruk.”
“Tak seronoklah kau.”
“Dasar penagih. Bila nak bayar hutang pun aku tak tahu.”
“Eh, nanti dulu! Kenapa ada budak-budak sekolah kat sini hah!?”
“Serius! Hahaha. Kenapa mereka boleh sampai sini? Apa yang kamu semua cari?”
Kami yang sedang memerhati suasana terus memasang langkah berjaga-jaga.
“Azman!?” Semua mereka berdiri dengan raut wajah terkejut.
“Kami ke sini hanya untuk melawat kejiranan samseng yang ada,” jawab Cikgu Azman kepada samseng itu.
Salah seorang lelaki dari kumpulan samseng itu sedikit ketawa. “Hah, lawatan ke kejiranan samseng? Apa yang kau cuba buktikan, Azman? Kau fikir kau boleh ubah nasib budak-budak ni? Hahaha, dunia ini kejam, cikgu.”
Cikgu Azman tenang dalam situasi seperti ini, dia mengambil langkah ke depan sebelum menjawab dengan nada perlahan, “Aku tak cuba buktikan apa-apa. Aku hanya nak mereka lihat sendiri realiti dunia ni—bahawa hidup dalam dunia samseng ni bukan pilihan. Mereka ada peluang untuk berubah, tapi mereka perlu tahu apa yang mereka akan hadapi kalau ikut jalan yang salah.”
“Berubah?” Lelaki itu mengangkat kening, memandang ke arah kami dengan senyuman mengejek. “Budak-budak ni takkan faham. Kau boleh ajar mereka apa saja, tapi bila mereka keluar dari sini, dunia sebenar akan telan mereka hidup-hidup.”
Salah seorang pelajar menggenggam erat begnya. Dia kelihatan resah, tapi tiba-tiba bersuara, “Kami mungkin tak tahu banyak, tapi kami tahu satu perkara—kami tak nak jadi seperti kamu semua.”
Semua terdiam seketika. Pandangan lelaki-lelaki itu beralih kepada pelajar itu, yang kini berdiri dengan penuh keberanian.
“Budak ni ada mulut, ya?” salah seorang lelaki menyindir sambil berjalan menghampirinya. “Kau tahu apa yang kau cakapkan tu, hah? Kau ingat kau lebih baik dari kami?”
Cikgu Azman segera melangkah ke hadapan, melindungi pelajar itu. “Cukup. Aku tak benarkan kau sentuh pelajar aku. Kau mungkin fikir hidup ini hanya tentang bertahan, tapi aku tahu setiap manusia boleh berubah, termasuk kau.”
Lelaki itu tersenyum sinis, lalu mundur selangkah. “Kau memang berani, Azman. Tapi ingat, dunia ni takkan berubah hanya kerana kau mahu. Hati-hati, cikgu. Kalau kau bawa budak-budak ni lagi ke kawasan kami, aku tak janji apa-apa.”
Dengan itu, kumpulan samseng itu beredar perlahan-lahan, meninggalkan kami dalam suasana tegang.
Selepas mereka pergi, kami semua menarik nafas lega. Tapi, aku perasan sesuatu—Cikgu Azman tetap kelihatan tenang, walaupun jelas keadaan tadi cukup berbahaya.
“Cikgu, kenapa cikgu bawa kami ke sini?” salah seorang pelajar bertanya, matanya masih memandang ke arah kumpulan itu yang semakin jauh.
Cikgu Azman memandang kami satu persatu. “Saya nak kamu semua tahu, dunia ini penuh pilihan. Dan setiap pilihan ada akibatnya. Apa yang kamu lihat tadi adalah akibat dari pilihan yang salah. Kamu semua masih ada masa untuk tentukan jalan hidup kamu sendiri. Jangan sia-siakan peluang itu.”
Kami terdiam. Kata-kata itu menusuk ke dalam hati kami, membawa perasaan yang bercampur—takut, insaf, dan harapan. Lawatan ini belum berakhir disini, Cikgu Azman mahu membawa kami ke tempat terakhir sebelum pulang ke sekolah semula. Dan kami semua mula bergegas ke sana, tidak jauh dari kawasan samseng ini.
***
Kami berjalan memasuki kawasan lorongan yang berada di tengah tinggi bangunan. Apabila kami semua mula keluar dari lorongan itu tiba-tiba, suasana yang tadinya hanya dipenuhi bunyi derapan langkah kami menjadi tegang. Dari arah sebuah rumah di hadapan, seorang lelaki melangkah keluar. Dia kelihatan berusia lingkungan 40-an, wajahnya penuh dengan bekas luka yang membayangkan sejarah hidup yang keras. Namun, apa yang benar-benar menarik perhatian semua orang ialah senjata di tangannya — sebuah shotgun yang digenggam erat.
Kami semua terdiam, langkah kami terhenti secara serentak. Lelaki itu tampak berhenti seketika, memandang tepat ke arah kami dengan mata yang tajam, penuh curiga. Detik itu terasa seperti sebuah adegan perlahan dalam filem, di mana semua orang menunggu sesuatu yang tidak pasti. Rakan-rakan sekelas aku mula berbisik-bisik, ketakutan jelas terukir di wajah mereka.
Siti menundukkan kepalanya lebih rendah, dan aku dapat merasakan tangannya menggigil di sisiku. “Adam,” bisiknya dengan nada hampir tidak kedengaran, “kita ada masalah.”
Namun, sebelum panik dapat menguasai keadaan, sesuatu yang mengejutkan berlaku. Lelaki itu, setelah beberapa saat memerhati, menurunkan shotgun di tangannya perlahan-lahan. Wajahnya yang awalnya garang berubah menjadi lebih santai. Dia melangkah mendekat dengan langkah yang lebih terkawal dan kemudian memberi salam kepada Cikgu Azman.
“Hello, cikgu,” katanya dengan nada hormat yang mengejutkan kami semua.
Cikgu Azman tersenyum kecil, sama sekali tidak terpengaruh dengan situasi tadi. Dia membalas salam lelaki itu dengan tenang, seolah-olah perkara seperti ini adalah rutin biasa baginya. “Lama tak nampak, Zamri. Apa khabar?”
Rakan sekelas aku kelihatan terpinga-pinga, dan aku sendiri tidak tahu bagaimana mahu bereaksi. Lelaki itu — Zamri, seperti yang disebut oleh Cikgu Azman — kini berdiri hanya beberapa meter dari kami, shotgun di tangannya kelihatan tidak lagi mengancam, tetapi tetap menimbulkan rasa seram. Aku cuba membaca reaksinya, tetapi wajah lelaki itu kini penuh dengan penghormatan terhadap guru kami.
“Khabar baik, cikgu. Maaf tadi, saya tak tahu cikgu yang datang. Kawasan ni sekarang tak selamat sangat, jadi saya kena berjaga-jaga,” kata Zamri, sedikit tersipu.
“Tak apa, saya faham,” balas Cikgu Azman. “Saya cuma bawa pelajar-pelajar ni untuk tengok kehidupan di sini. Harapnya mereka dapat belajar sesuatu.”
Zamri mengangguk perlahan. “Baguslah cikgu buat macam ni. Budak-budak ni kena tahu, hidup macam kami bukan sesuatu yang patut diimpikan. Kalau boleh, jauhkan diri dari tempat macam ni.”
Kata-kata lelaki itu membawa beban yang berat, seolah-olah dia sendiri menyesali kehidupannya sekarang. Aku dapat melihat beberapa rakan sekelas aku mula kelihatan lega, walaupun ketegangan tadi masih tersisa di udara.
Sementara itu, aku menjeling ke arah Siti, yang kelihatan semakin gelisah. Zamri tidak nampak seperti mengenali kami, tetapi kami tahu risiko itu sentiasa ada. Aku cuba memberikan isyarat mata kepada Siti untuk bertenang, tetapi aku sendiri tidak dapat menahan rasa waspada.
“Baiklah, Zamri. Terima kasih sebab faham,” kata Cikgu Azman sebelum memberi isyarat kepada kami untuk meneruskan perjalanan. “Jaga diri, ya.”
Zamri mengangguk sekali lagi, tetapi pandangannya kekal dingin seolah-olah dia masih mengawasi kami walaupun shotgun itu sudah tidak lagi mengancam. Ketika kami mula bergerak semula, aku dapat merasakan jantung aku masih berdegup kencang.
“Aku tak suka tempat ni,” bisik salah seorang rakan sekelas aku dari belakang.
Aku hanya mampu bersetuju dalam hati. Kawasan ini, walaupun kelihatan tenang pada pandangan pertama, penuh dengan ancaman yang boleh muncul tanpa amaran. Dan aku tahu, pertemuan dengan lelaki seperti Zamri hanyalah permulaan.
Kami akhirnya masuk ke dalam rumah yang ada disekitar kawasan ini, dalam ruangan sana terdapat beberapa barangan elektronik dan beberapa barangan lain yang sering digunakan samseng. Cikgu Azman melangkah ke depan menegur seseorang yang sedang bermain permainan video. “Hello Bob, lama tak jumpa,” tegur Cikgu Azman.
Bob memusingkan badannya dan melihat kami semua. “Azman, nanti dulu woah… kenapa kau bawa budak-budak dekat sini? Kau tahu kan tempat ni tak selamat?”
Cikgu Azman memasuki ruangan, “Ya, aku tahu… tapi mereka nampak seronok sangat bercerita tentang kehidupan samseng. Jadi aku putuskan untuk bawa mereka ke sini untuk tengok sendiri realiti kehidupan mereka. Sebagai pengajaran buat mereka.”
Setelah mendengar penjelasan Cikgu Azman, Bob menyuruh kami semua masuk dan mula melayan kami sebaik mungkin. Dia berdiri dari kerusi dan menuju ke dapur seperti mahu menghidangkan sesuatu pada kami. Cikgu Azman pula menyuruh kami untuk masuk lebih dalam dan duduk pada sofa dan kerusi yang ada.
Kawasan rumah ini berselerakan dan penuh barangan lama menyebabkan kami sukar untuk berjalan lebih jauh. Tidak lama kemudian, seseorang membuka pintu menyuruh Cikgu Azman untuk keluar. Dia tampak seperti seseorang yang mengenali Cikgu Azman. Tanpa membuang masa Cikgu Azman berdiri dan menuju ke arah lelaki tersebut. Mereka berdua kelihatan berbisik akan sesuatu sebelum Cikgu Azman memutuskan untuk keluar.
“Alamak, Azman keluar ke?” kata Bob yang mula keluar dari dapur. Dia membawa beberapa tin minuman dan makanan ringan untuk disajikan kepada kami.
“Tempat ni agak kotor juga ya…” salah seorang dari kami merungut keadaan tempat ini. Jelas melihat segala sudut kawasan ini menandakan Bob merupakan orang yang pengotor. Bob meletakkan tin minuman dan makanan ringan ke atas meja. Kemudian berjalan menuju ke tempat duduknya tadi sambil menyambung permainan.
“Macam ini lah hidup jika tak ada kerja,” usik si Bob sambil memasang set kepala.
Kami melangkah dari tempat berdiri menuju sofa kemudian mencari tempat duduk. Bob nampak seperti seseorang yang dermawan pada kami. Dia memberikan makanan ringan dan minuman tanpa ragu, meskipun keadaan rumahnya kelihatan tidak terurus.
“Ambil ja, jangan malu-malu,” katanya dengan nada lemah lembut, membuatkan suasana sedikit kurang tegang. Namun, kami tidak pasti sama ada sikap pemurahnya itu datang dari keikhlasan, atau sekadar ingin menutup kekurangan yang jelas terlihat.
Pelbagai soalan mula bermunculan dari kami, dan kami mula berbual dengan bob tentang beberapa perkara. Namun sejurus kemudian seseorang memasuki rumah ini. Dia menyoal pada Bob dengan nada yang mendesak.
“Bob, aku perlukan duit sekarang, kau tahu… hidup dekat kejiranan ni dah lah susah.”
“Nanti, aku tahu... tapi ada budak-budak dekat sini takkan kau nak tunjuk perangai?”
“Aku peduli apa dengan budak-budak bukannya mereka tahu pasal hidup kita. Diorang patut pelajar dan main jauh-jauh. Azman pun tak guna seret budak masuk kawasan ni. Kalau along jumpa teruk kena.”
“Kenapa tiba-tiba kau perlukan duit?”
“Hutang puak-puak tu aku belum bayar, sekarang mereka ada dekat sini.”
“Kau ni pun satu lah kenapa pergi pinjam duit dari mereka? Kau tahu kan mereka macam mana?”
“Aku terdesak hari tu. Mereka je ada...”
“Kau ni... Berapa banyak kau pinjam mereka?”
“Dalam lima ratus.”
“Banyaknya, kau buat apa dengan duit mereka?”
“Adalah...”
Bob berdiri kemudian berjalan menuju laci meja. Dia membuka laci selepas itu sejumlah lipas keluar dari laci tersebut. Dia menutup hidung.
“Teruknya...” Kata Bob sambil mengambil duit lalu diberikan pada lelaki tadi.
“Terima kasih Bob... Aku terhutang budi,” kata lelaki itu kepada Bob sebelum dia pergi meninggalkan kami. Dalam masa yang sama matanya melihat kami seperti membayangkan dirinya ada dikalangan kami.
Kami berbual dengan Bob beberapa perkara yang menunjukkan bertapa teruknya hidup mereka tanpa kerja tetap dan terpaksa hidup dibawah arahan samseng setempat. Setelah lelaki itu pergi, seseorang berbaju hitam datang dari arah dapur dan menegur Bob untuk pergi ke arahnya. Bob berdiri dari tempat duduk dan berjalan menuju dapur. Di dapur kami mendengar bisikan perbualan mereka.
“Bob, kenapa kau sanggup bagi dia duit tadi? Kau pun bukannya senang.”
“Aku tahu, tapi aku tak sanggup tengok dia terdesak dengan samseng tu. Kalau aku tak tolong mungkin keadaan dia jadi makin teruk.”
“Huhh, sampai bila kita terpaksa tertekan macam ni. Semua orang perlukan duit dan hidup dekat kawasan ni susah.”
“Hidup dekat sini memang macam ni. Kalau kau tak ikut cakap mereka, kau kena masalah.”
“Rasa macam tak ada pilihan. Tapi kenapa dia sampai boleh pinjam duit dari puak tu?”
“Entah, orang macam dia, kalau terdesak, dia akan ambil jalan paling senang.”
“Kau tak rasa takut ke, Bob? Kalau mereka tahu kau tolong dia tadi, kau pula yang kena.”
“Aku dah biasa hidup macam ni. Takut atau tak, kita tetap kena teruskan hidup. Tapi aku risau budak-budak yang membesar dekat kawasan ni.”
“Ya... mereka tengok semua ni, lama-lama mereka fikir ini benda biasa.”
“Itulah yang aku paling takut. Bila budak-budak ni ikut jejak langkah yang salah. Tapi nak buat macam mana? Nak keluar dari sini pun bukan senang.”
“Mesti ada jalan, Bob. Kita tak boleh biar hidup kita dikawal oleh mereka selamanya.”
Bob menghela nafas, “Aku harap kau betul. Tapi buat masa sekarang, kita cuma boleh bertahan.”
Cikgu Azman kembali, “Baiklah semua mari kita pulang ke sekolah. Nampaknya cikgu ada urusan dan terpaksa akhirkan lawatan ini di sini.”
Lelaki baju hitam yang berada di dapur mula bertanya pada Cikgu Azman. “Azman kenapa kau boleh bawak budak-budak ke tempat ni. Kau tahu tempat ni tak selamat untuk mereka?”
“Mereka terlalu minat dengan dunia narkoba dan samseng. Jadi aku bawa mereka ke sini untuk tunjukkan pada mereka bagaimana dunia samseng yang sebenarnya. Lagipun tak akan ada perkara buruk yang berlaku selagi ada aku di sisi mereka.”
“Iya, lah tu Azman. Harap kau tak ganggu kejiranan ni dengan masalah budak-budak. Aku tak tahu apa yang mereka akan buat kalau ada masalah berlaku,” ucap lelaki baju hitam.
“Jangan risau, aku akan pastikan mereka semua selamat.” Cikgu Azman membimbing kami keluar dari rumah ini. Maka dengan ini lawatan kami telah berakhir dan semua pelajar berjalan menuju bas yang berada di luar block kawasan ini.
***
Semasa kami berjalan menuju ke bas, suasana terasa aneh. Entah kenapa, ada rasa seperti sesuatu yang hilang. Perasaan itu menjadi nyata apabila Cikgu Azman, yang sudah menunggu di atas bas, mula mengira jumlah pelajar.
Pada kiraan terakhir, wajahnya berubah serius. “Tunggu... Ada yang kurang. Mana tiga orang lagi kawan kamu?”
Kami saling berpandangan, kebingungan. Suasana di dalam bas bertukar riuh, bisikan dan tekaan mula kedengaran.
“Jangan cakap mereka tertinggal,” kata Cikgu Azman dengan nada sedikit panik.
Seorang pelajar menjawab, “Betul la, cikgu. Mereka memang tak ada.”
“Mana mereka pergi?”
Seorang lagi pelajar mengangkat tangan, memberikan pendapat. “Cikgu, cuba cari mereka dekat tempat dadah yang kita pergi tadi. Mungkin mereka ada dekat situ.”
Cikgu Azman mengangguk. “Baik, saya akan cuba periksa.” Dengan langkah tergesa-gesa, dia turun dari bas untuk mencari mereka.
Aku tidak mampu duduk diam. Sesuatu di hati kecilku mendesak untuk ikut. Tanpa berfikir panjang, aku turun dari bas dan mengekori Cikgu Azman. Beberapa pelajar lain turut mengikut, sementara selebihnya kekal di dalam bas, mungkin kerana tidak mahu keadaan menjadi lebih kacau.
Aku memecut langkah, tidak mempedulikan derap kaki yang mungkin kedengaran kuat di lorong sempit itu. Sesampainya di satu sudut, aku berhenti, menahan nafas di sebalik dinding. Mataku tertumpu pada Cikgu Azman yang sedang berbual dengan sekumpulan samseng.
“Cikgu?!” Tegur salah seorang pelajar yang hilang, suaranya kedengaran takut dan terkejut.
Salah seorang samseng berpaling pantas ke arah suara itu. “Tunggu, kau siapa?” tanyanya sambil memandang tajam ke arah Cikgu Azman.
“Aku guru mereka,” jawab Cikgu Azman dengan suara lantang tetapi terkawal. Dia mengarahkan samseng itu untuk melepaskan genggaman mereka dari tangan pelajar.
Kelima-lima samseng itu saling berpandangan, wajah mereka penuh tanda tanya, sebelum kembali menatap Cikgu Azman.
Aku kekal di tempatku, memerhatikan semuanya dengan jantung berdegup kencang. Tidak lama kemudian, beberapa rakan sekelas tiba di belakangku. Aku memberi isyarat supaya mereka diam, dan kami semua berdiri di situ, memerhati tanpa berani bertindak.
Salah seorang samseng bersuara, suaranya penuh sindiran. “Jadi kau guru mereka, ya? Kau tahu pelajar-pelajar kau cuba bersubahat dengan kami untuk melaksanakan kontrak jualan?”
Cikgu Azman kelihatan terkejut, dia segera bertanya, “Kontrak apa yang dimaksudkan?”
“Budak-budak ni cuba jadi orang tengah dalam penjualan narkoba. Gayanya, mereka tertarik dengan kami,” jawab samseng itu sambil memandang tiga pelajar yang kelihatan ketakutan.
Ketiga-tiga pelajar itu memandang ke arah Cikgu Azman, mata mereka seperti merayu meminta tolong.
“Dengar sini,” kata Cikgu Azman tegas, “mereka hanya budak sekolah. Mereka tak tahu apa-apa tentang ini. Jadi, tolong lepaskan mereka.”
Samseng itu mendengus, memandang rakan-rakannya sebelum berkata, “Huh, kau ingat senang untuk kami lepaskan mereka? Mereka tadi masuk ke wilayah kami, buat sesuka hati, dan cuba mencuri.”
“Mereka hanyalah pelajar sekolah menengah yang belum faham apa-apa tentang dunia samseng. Aku nasihatkan, lebih baik kau lepaskan mereka sebelum keadaan menjadi lebih rumit.”
Suasana bertambah tegang, seperti bom yang menunggu masa untuk meledak. Aku menahan nafas, cuba meneka apa langkah seterusnya yang akan diambil oleh samseng itu.
“Kalau tak apa?” kata salah seorang samseng dengan nada sinis. “Mereka masuk ke wilayah kami, cuba mencuri, kemudian mahu buat kontrak dengan kami. Mereka memang lucu.”
Cikgu Azman kekal berdiri teguh, namun jelas dia cuba memikirkan sesuatu untuk meredakan situasi. Selepas beberapa saat, dia mengangkat tangannya, menunjukkan sebuah cincin emas di jarinya.
“Baiklah, apa kata kita buat pertukaran?” katanya sambil mengangkat tangan cuba untuk berunding. “Aku berikan cincin ini, dan kau lepaskan mereka bertiga.”
Kelima-lima samseng itu terdiam seketika, memandang cincin tersebut sebelum seorang daripada mereka menjawab dengan tawa kecil, “Ehh, cincin? Kenapa tiba-tiba kami perlukannya? Kami bukan peniaga barang kemas.”
Seorang lagi menyambung, suaranya penuh ejekan, “Lagipun, mereka ni suka mencuri, kan? Daripada kau bagi cincin, apa kata kami 'jual' mereka? Jauh lebih untung!”
Ketawa mereka bergema di lorong itu, serentak dan tanpa arah, seperti menyindir keadaan yang mereka anggap remeh. Suasana semakin menekan, dan aku yang masih berlindung di sebalik dinding dapat merasakan keringat dingin mula mengalir di dahiku. Sesuatu harus dilakukan segera, atau keadaan akan bertambah buruk.
Ketawa samseng itu makin galak, seolah-olah menghina tawaran Cikgu Azman. Mereka saling berpandangan, wajah mereka penuh dengan sindiran dan rasa angkuh.
“Tunggu, kau ingat kau boleh membeli kami dengan cincin ni?” kata salah seorang samseng, matanya mencerlang dengan niat jahat. “Kau tak tahu siapa kami!”
Cikgu Azman tetap tenang, walaupun ketegangan semakin jelas terasa di udara. “Kau boleh cuba. Tapi lepaskan mereka dulu," jawabnya dengan berhati-hati, matanya tidak lepas daripada memandang samseng-samseng itu.
Tiba-tiba, salah seorang samseng yang lebih besar dan lebih berotot bergerak ke depan, mendekati Cikgu Azman dengan langkah perlahan. “Kau nak tahu siapa kami?” katanya sambil mengangkat tangannya, seolah-olah memberi amaran. “Kami adalah mereka yang mengawal wilayah ini. Tak ada siapa yang boleh lawan kami!”
Cikgu Azman tidak berganjak. Dia mengeluarkan sesuatu dari dalam bajunya — sebuah pisau pendek yang sudah disimpan selama ini. “Kau salah kalau fikir kau boleh menakut-nakutkan aku. Aku juga ada cara untuk mempertahankan diri,” katanya dengan nada yang penuh keyakinan.
Samseng itu tersenyum lebar, “Kau nak lawan kami dengan pisau kecil tu? Kau nak jadi pahlawan?”
Namun, sebelum sempat dia bergerak, Cikgu Azman bertindak dengan pantas. Dia melangkah maju, pisau itu berkilau di bawah cahaya samar. Dalam satu gerakan yang cepat dan tepat, dia menendang kaki samseng itu, membuatkan lelaki besar itu terjatuh ke tanah.
Kawan-kawannya terkejut, dan dalam sekelip mata, mereka cuba menyerang. Seorang samseng yang lain meluru ke depan dengan tangannya yang besar, cuba menangkap Cikgu Azman dari belakang. Tetapi Cikgu Azman bergerak lincah, mengelak serangan itu dan memutar tangan samseng tersebut, menyebabkan lelaki itu jatuh terhentak ke lantai.
Samseng yang ketiga cuba menggunakan pisau yang lebih panjang, tetapi Cikgu Azman sekali lagi menunjukkan kemahiran dalam pertarungan. Dia menangkis serangan itu dengan gerakan cepat, melepaskan diri dari jarak pisau dan menyasarkan serangan balas yang membuat samseng itu terjatuh dengan keras.
Keempat samseng yang masih berdiri tidak dapat menyembunyikan rasa terkejut mereka. Mereka tidak menyangka Cikgu Azman begitu cekap dan berani. Namun, mereka tetap menyerang secara serentak, cuba mengelilingi Cikgu Azman. Tetapi dengan satu langkah pantas, Cikgu Azman melompat tinggi, mengelak daripada serangan itu dan mendarat di belakang mereka.
“Cukup! Lepaskan mereka!” Cikgu Azman menegaskan, suaranya penuh kuasa.
Samseng-samseng itu, kini keletihan dan terkejut dengan kebolehan Cikgu Azman, mula berhenti menyerang. Mereka saling berpandangan, wajah mereka yang sebelum ini angkuh kini dipenuhi dengan ketakutan.
Cikgu Azman berdiri tegak di tengah-tengah mereka, dengan nafas yang terkawal, memandang setiap wajah samseng itu. “Kau mungkin menguasai wilayah ini, tapi jangan salah sangka. Ada perkara yang lebih besar daripada kekuatan dan kekejaman.”
Samseng yang terakhir, yang lebih muda dan kurus, akhirnya mengangkat tangan sebagai tanda menyerah kalah. “Baiklah, lepaskan mereka,” katanya dengan suara serak.
Cikgu Azman tersenyum tipis, mengangguk. Dia melangkah ke arah pelajar yang terikat dan membebaskan mereka satu persatu. “Kamu semua masih muda, ada banyak yang perlu dipelajari,” katanya kepada mereka dengan lembut, walaupun dalam hatinya masih ada kekesalan terhadap keadaan ini.
Kami yang mengintai dari jauh tidak dapat menahan rasa kagum. Walaupun kami berada dalam ketakutan yang sama, Cikgu Azman menunjukkan kepada kami betapa kuatnya keyakinan dan keberanian yang sebenar.
***
Semasa berada di dalam bas, hampir semua rakan sekelasku menunduk ke bawah. Tidak lepas dari peristiwa yang berlaku tadi. Cikgu Azman berdiri di hadapan kami semua memandang dengan wajah penuh keprihatinan, kemudian dia memulakan cerita kepada kami sebagai sebuah pengajaran, “Ada sebuah kisah yang cikgu ingat. Dua beradik hidup dalam keadaan sangat susah, sampai tak ada tempat tinggal. Mereka akhirnya terjebak dengan sebuah geng. Geng tersebut menawarkan pekerjaan kepada mereka. Awalnya, hidup mereka berubah. Mereka dapat duit yang banyak dan mula taksub dengan dadah. Hari-hari mereka hanya menjual dadah yang diberikan oleh geng itu. Tapi, satu hari, mereka buat keputusan untuk cuba serpihan dadah yang mereka jual.
Lama-kelamaan, mereka ketagih. Mereka terus bekerja, sambil menerima dos dadah yang semakin tinggi. Dan akhirnya, kedua-duanya meninggal dunia akibat dos berlebihan. Lepas mereka mati, geng itu langsung tak peduli. Mereka cari orang lain untuk gantikan tempat dua beradik itu. Jadi, cikgu nak tanya kamu semua—kenapa kamu terlalu terpengaruh dengan dunia samseng dan jualan terlarang macam dadah ini?”
Keadaan senyap tanpa balasan atau apa-apa pun meninggalkan suara Cikgu Azman yang memenuhi ruangan di dalam bas. Cikgu Azman memandang kami semua dan mula menceramahi kami.
“Jadi kamu tahu macam mana hidup mereka? Mereka hidup penuh dengan hutang, ketagihan yang melarat, dan terpaksa tinggal di tempat yang kotor…” Dia terdiam, membiarkan kami mencerna kata-katanya.
“Kamu semua masih muda dan ada pilihan untuk menentukan masa depan kamu. Tapi kamu sering anggap remeh peluang yang ada, malah memilih untuk hidup seperti mereka—terperangkap dalam kesusahan—daripada berusaha untuk hidup senang. Apa yang membuatkan kamu semua berfikir begitu?”
Seorang rakan sekelas aku menjawab, “Kami cuma fikir jual dadah boleh dapat untung besar. Satu pil berharga sepuluh Myd, ada yang sampai seratus. Kalau kami jual, mesti dapat duit banyak.”
“Ya betul tu, saya pun pernah dengar dari mereka, dan nampak macam kerja ni boleh buat hidup senang. Tapi hakikatnya ianya sangat teruk. Rasa seperti ditipu pun ada.”
Cikgu Azman menggeleng kepala perlahan mendengar perkataan mereka yang serba kekurangan dalam ilmu. “Betul, mungkin nampak menguntungkan. Tapi kamu kena faham, akhirnya hidup mereka punah. Apa yang kamu nampak tu cuma ilusi. Hakikatnya, semua ini perangkap.”
Cikgu Azman memandang kami dengan tajam sebelum menyambung, “Seperti yang saya katakan kelmarin, semuanya bergantung pada pilihan kamu. Jadi, apa pilihan yang kamu akan buat mulai sekarang?”
Seorang pelajar mengangkat kepala, memberanikan diri bertanya, “Kenapa Cikgu sanggup lakukan semua ini untuk kami?”
Seorang lagi menambah, “Betul, walaupun kami selalu kenakan Cikgu... Cikgu tetap berusaha untuk buat kami sedar tentang pilihan kami. Apa yang buatkan Cikgu begitu bertekad?”
Cikgu Azman terdiam seketika, matanya seperti mengenang sesuatu. Akhirnya, dia bercerita, “Ianya mungkin tak penting bagi kamu, tapi... Dahulu saya pernah mengajar pelajar-pelajar nakal seperti kamu semua. Apabila saya tanya tentang masa depan mereka, jawapan mereka hanyalah mahu menjadi penjual narkotik, pencuri, atau samseng. Pada mulanya, saya anggap itu hanya gurauan. Namun, selepas mereka tamat sekolah, tanpa pekerjaan, mereka benar-benar memilih jalan itu.”
Cikgu Azman menarik nafas panjang sebelum menyambung, “Disebabkan peristiwa itu, saya bertekad untuk tidak mengulangi kesilapan saya. Saya mahu pelajar-pelajar seperti kamu berjaya. Itu sebabnya saya ditugaskan mengajar di sini. Saya percaya ada antara kamu yang akan melangkah ke peringkat pengajian lebih tinggi. Berapa kali pun kamu kenakan saya, saya tetap tidak akan putus asa. Itu janji saya kepada diri sendiri.”
Janji pada diri sendiri setelah peristiwa besar terjadi merupakan janji akan kekal terikat dalam hati. Apa yang Cikgu Azman sampaikan menjadi luahnya sebagai seorang guru. Tanda dia ingin melihat pelajarnya berjaya.
“Jadi disebabkan itu saya nakkan kamu semua lulus dalam peperiksaan yang mendatang. Tolong ini permintaan cikgu,” tambah Cikgu Azman.
“Cikgu nak kami lulus dalam peperiksaan. Tapi kenapa?”
“Saya akan jelaskan sesuatu pada kamu semua. Tujuan saya kemari ke sini adalah sebuah ujian. Jika lulus maka saya akan menjadi guru kekal. Itu bermakna saya tidak lagi menjadi guru pindahan yang berpindah antara sekolah lain ke sekolah yang lain. Jika kamu semua lulus peperiksaan, saya akan menetap di sekolah kamu. Jadi sebab itu saya harap kamu semua dapat lulus dalam peperiksaan yang mendatang. Kamu semua suka cabaran bukan, jadi cikgu akan cabar kamu supaya lulus dalam peperiksaan yang mendatang. Ini bukan sahaja buat kamu tapi buat cikgu juga.”
Waktu berdetik perlahan, tiada suara di dalam bas ini melainkan bunyi enjin kenderaan. Mereka semua diam kemudian mereka memahami akan tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar.
“Baiklah cikgu, disebabkan tiada guru lain yang sehebat cikgu. Jadi kami terima cabaran cikgu untuk lulus peperiksaan.”
“Ya, cikgu memang hebat masa pukul samseng-samseng tadi.”
“Yalah, cikgu. Tak ada guru lain sehebat cikgu.”
“Kalau cikgu tak berputus asas untuk sedarkan kami. Jadi kami pun tak akan berputus asas untuk lulus peperiksaan yang mendatang.”
“Baik cikgu, kami janji akan lulus peperiksaan mendatang buat cikgu.”
Kata-kata Cikgu Azman menusuk hati kami. Beberapa pelajar mula merenung diri. Niat yang sebelumnya ingin menjadi samseng setempat perlahan-lahan bertukar kepada keinginan untuk berubah demi masa depan yang lebih baik.
Aku mendengar perbualan itu tanpa banyak bersuara. Rakan-rakanku seperti budak mentah yang baru saja mengenal dunia samseng setempat. Mereka mungkin terpesona dengan keuntungan mudah, tapi aku tahu lebih dari itu.
Sebagai seseorang yang terikat dengan kontrak samseng, ditambah pula Hate berada di bawah kendalian pemimpin wilayah utara, aku lebih berpengalaman. Kami menerima arahan, melaksanakan tugasan, dan tidak pernah ada pilihan lain. Itulah sebabnya aku tahu dunia ini bukan seperti apa yang mereka bayangkan. Dunia samseng bukan tentang kemewahan, tetapi tentang kegelapan yang memakan diri.
Aku mengambil nafas tenang bersama Siti kerana identiti kami sebagai geng jalanan masih belum diketahui oleh rakan sekelas kami. Memang kami berada di hujung tanduk semasa lawatan ini kerana beberapa tempat yang kami tuju merupakan tempat samseng yang mengenali kami. Tapi mereka tampak tidak peduli pada kami. Siti juga berasa lega dan hanya bersandar pada kerusi bas hanya memandang keluar tingkap.
Lawatan kami berakhir saat matahari hampir tenggelam, meninggalkan langit dengan warna jingga yang indah. Aku dan Siti menarik nafas lega—lawatan ini berjaya diselesaikan tanpa masalah berkaitan identiti kami dengan samseng setempat.
Dari tempat dudukku di dalam bas, aku melihat bangunan-bangunan yang disinari cahaya senja. Kata-kata Cikgu Azman tentang kehidupan samseng jalanan membekas di hati, tetapi aku tahu realitinya jauh lebih gelap dan kompleks daripada apa yang beliau sampaikan kepada kami.