home

search

Chapter 04 Jubah Hitam

  Sekarang pukul empat tiga puluh empat minit. Kami tiba di lokasi yang ditandakan pada peta. Rumah terbiar yang kelihatan tua dan usang, seperti sudah lama tidak berpenghuni. Cat pada dinding-dindingnya mengelupas, dan retakan-retakan besar jelas kelihatan. Bahagian bumbung di sudut kanan rumah hampir runtuh, meninggalkan lubang yang membiarkan cahaya petang masuk. Angin yang bertiup membawa bunyi dedaunan kering bergesel, satu-satunya suara yang menemani langkah kami.

  “Jadi ini tempatnya?” soal Area, matanya bergerak liar memerhati keadaan sekeliling. Dia tampak seperti waspada akan sesuatu, mungkin suasana suram ini membuatnya kurang selesa.

  Aku mengangguk sambil menarik nafas panjang. “Ya, lelaki tu kata beg tu ada dalam bangunan usang ni.”

  Kami memandang sejenak sebelum melangkah ke dalam. Bunyi engsel pintu yang berkarat berdecit ketika pintu utama dibuka. Bau hapak dan lembab segera menyambut kami. Aku cuba mengabaikan rasa tidak selesa, sedangkan Area sudah melangkah masuk dengan langkah hati-hati. Rumah ini kelihatan seperti tidak disentuh selama bertahun-tahun, dengan debu tebal menyelimuti segala-galanya. Di ruang tamu, perabot-perabot lama berselerak. Ada kaca tingkap yang pecah, dan lantai kayu berbunyi setiap kali kami melangkah.

  “Rumah ni agak besar,” ucapku sambil memandang sekeliling ruangan.

  “Ya, ia macam sebuah rumah agam yang mewah.”

  “Tak ada cara lain. Area nampaknya kita terpaksa berpecah. Awak cari beg tu dekat bilik ruangan bawah dan saya cari di lantai atas.”

  “Baiklah Adam,” jawab ringkas Area sambil bergerak ke arah bilik di ruangan bawah.

  Aku mula memanjat tangga utama yang tampak rapuh. Setiap langkah menghasilkan bunyi berkeriut, membuat aku berhenti sejenak untuk memastikan tangga itu mampu menahan beratku. Setibanya di tingkat dua, aku mendapati dua bilik. Satu bilik terletak berhampiran tangga, manakala yang satu lagi berada di hujung koridor yang gelap.

  Aku memilih bilik yang terdekat dahulu. Pintu bilik itu berdecit kuat ketika aku menolaknya perlahan. Ruang di dalamnya dipenuhi barang-barang yang berselerak. Ada katil tua dengan tilam koyak, sebuah almari kayu besar, dan sebuah meja kecil di sudut bilik. Aku mencari di bawah katil, tetapi hanya menemui sarang labah-labah. Almari juga kosong kecuali pakaian yang sudah lusuh dan dimakan usia.

  “Adam! Awak dah jumpa apa-apa?!” suara Area tiba-tiba bergema dari bawah, memecah keheningan.

  “Belum! Saya baru periksa satu bilik!” balasku sambil keluar dan menuju bilik kedua.

  “Saya dah selesai periksa kedua bilik ni. Mungkin beg tu ada di ruangan tingkat atas. Kalau awak sudah jumpa Adam. Jumpa saya di dapur, ada sesuatu yang perlu saya buat.”

  “Baiklah, Area,” balasku sambil berjalan di koridor ruangan.

  Tanpa membuang masa, aku terus ke bilik tidur terakhir. Pintu bilik kelihatan lebih berat, mungkin kerana engselnya sudah berkarat. Aku menolak pintu itu dengan seluruh tenagaku, dan setelah beberapa percubaan, ia terbuka. Mataku segera tertumpu pada sesuatu di atas meja kecil di sudut bilik. Sebuah beg perak, kelihatan aneh kerana permukaannya bersih, tidak seperti keadaan bilik yang berdebu.

  “Aneh…” aku berbisik sambil mendekati beg itu.

  Aku cuba membukanya, tetapi kuncinya terlalu ketat. Aku menggoncang sedikit beg itu, cuba mencari petunjuk, tetapi tiada apa-apa yang berganjak. Tidak mahu mengambil risiko, aku memutuskan untuk membawa beg itu ke bawah.

  “Area! Saya dah jumpa!” aku memanggil sambil tergesa-gesa menuruni tangga.

  Area sudah berdiri di tepi jendela, wajahnya jelas cemas. “Hati-hati. Kita kena keluar sekarang!” katanya dengan suara perlahan.

  Aku memandang keluar melalui jendela. Sebuah kereta hitam berhenti di hadapan pagar rumah, dan beberapa lelaki bertatu keluar dari kereta itu. Mereka memakai jaket hitam dengan corak tengkorak, satu simbol yang aku kenali.

  “Darkmetnest?!…” aku berbisik, suara hampir tersekat.

  Kami berdua cepat-cepat memakai topeng muka, melindungi identiti kami dari mereka sekiranya diketahui. Dalam masa yang sama, Area datang menghampiriku.

  “Adam, nampaknya kita terpaksa keluar ikut pintu dapur, mereka nampak macam akan masuk ke dalam rumah ni,” Area mencadangkan sambil menarik lenganku.

  “Tapi pintu belakang mungkin berkunci,” aku mengingatkannya.

  “Tak ada cara lain lagi Adam. Mungkin mereka datang ada urusan sesuatu. Mungkin mereka datang untuk dapatkan beg ni,” bisik Area kepadaku.

  “Mungkin.” Apa niat sebenar Mafi, dan apa yang sedang terjadi? Kenapa Darkmetnest berada di wilayah utara? Semua persoalan itu aku simpan buat sementara, untuk sekarang kami harus keluar dari bangunan ini.

  Selang beberapa saat setelah mereka keluar dari kenderaan, kami terus berlari ke dapur, apabila sampai di sana Area segera mencari alat untuk membuka pintu. Aku mendengar bunyi kuat dari depan rumah. Mereka sudah mulai mendobrak pintu utama.

  “Cepat, Area!” aku mendesaknya, jantungku berdegup kencang.

  “Sekejap!” Area membalas dengan tenang, tangannya pantas bekerja dengan sebatang klip kertas yang dijumpainya di meja dapur. Dalam beberapa saat, pintu itu terbuka namun mengejutkan ia dihalang oleh sebuah kotak yang tersandar disebalik pintu ini. Dengan pantas aku menyuruh Area ketepi lalu mula menendang pintu besi ini. Ia mengeluarkan bunyi yang kuat dan kami berdua berlari keluar ke halaman belakang.

  Kami cuba mencari jalan untuk melepaskan diri dan bergerak jauh dari rumah terbiar ini. Namun, jalan kami terhalang oleh pagar berduri yang mengelilingi rumah itu. Aku memandang sekeliling, mencari jalan keluar, tetapi hanya melihat dinding kayu yang hampir runtuh, semak tebal, dan pagar yang mustahil untuk dipanjat tanpa risiko luka parah.

  “Macam mana sekarang?” aku bertanya, suaraku sedikit meninggi.

  Area memeriksa pagar itu dengan pantas, tangannya menyentuh besi yang sudah berkarat. “Sini,” katanya sambil menunjuk ke bahagian pagar yang sedikit bengkok. “Bahagian ni nampak lemah. Kita boleh robohkannya.”

  Aku memandang ke arah yang ditunjukkannya. Bahagian itu memang sedikit melendut, tetapi tidak kelihatan cukup lemah untuk dirobohkan dengan mudah.

  “Awak yakin?” soalku ragu-ragu, tetapi Area tidak menjawab. Dia segera mencari sesuatu di atas tanah dan menemui kayu panjang yang sudah reput.

  “Pegang kayu ni. Kita cuba patahkan,” katanya sambil menghulurkan kayu itu kepadaku.

  Aku mengambil kayu itu dan bersama-sama kami menolak pagar dengan seluruh tenaga. Bunyi geseran besi berkarat memenuhi udara, dan aku dapat merasakan kayu itu hampir patah di tanganku.

  “Saya rasa tak cukup kuat,” kataku dengan nafas terputus-putus.

  Area memandang sekeliling. “Saya cari sesuatu yang lebih berat. Awak tunggu sini.”

  Dia berlari mencari sesuatu di kawasan halaman, meninggalkan aku sendirian di kawasan pagar. Aku memandang sekeliling dengan gelisah, mataku tertumpu pada bayang-bayang yang bergerak di dalam rumah.

  Tiba-tiba, bunyi kaca pecah kedengaran dari arah depan rumah. Aku tahu mereka sudah berjaya masuk. Detik itu membuatku semakin resah.

  “Area, cepatlah…” aku berbisik perlahan.

  Beberapa minit kemudian, Area muncul kembali dengan sebatang paip logam berkarat. Dia kelihatan sedikit berpeluh, tetapi matanya tajam dengan tekad.

  “Kita tak ada banyak masa,” katanya sambil menyerahkan paip itu kepadaku.

  Kami menggunakan paip itu sebagai tuas, menekan pagar dengan sekuat hati. Akhirnya, selepas beberapa tolakan yang hampir membuat aku kehilangan keseimbangan, bahagian pagar itu runtuh, menghasilkan ruang sempit yang cukup untuk kami merangkak keluar.

  “Adam awak pergi dulu,” Area berkata sambil memegang ruang itu terbuka.

  Aku merangkak keluar terlebih dahulu, memastikan tanah di luar cukup stabil sebelum membantu Area. Pakaian kami tersangkut pada duri-duri yang menonjol, meninggalkan beberapa lubang kecil pada baju kami, tetapi kami tidak peduli.

  Baru sahaja kami melangkah keluar dari pagar, bunyi pintu belakang terbuka dengan kuat.

  “Lari!” jerit Area sambil menolak aku ke hadapan.

  Did you know this text is from a different site? Read the official version to support the creator.

  Kami berlari ke arah hutan kecil di belakang rumah itu. Nafasku semakin terputus-putus, tetapi aku tahu kami tidak boleh berhenti.

  Area menarik lenganku, membimbingku ke arah semak-semak tebal. “Masuk sini. Mereka takkan nampak kita kalau kita diam,” katanya sambil menundukkan badannya.

  Kami menyelinap masuk ke dalam semak, cuba menahan nafas dan bergerak sekecil mungkin. Aku dapat melihat lelaki-lelaki itu berhenti di tempat kami tadi, memandang sekeliling dengan marah.

  “Sial! Mereka dah lari ke mana?” salah seorang lelaki itu berteriak.

  “Cari di hutan! Mereka tak mungkin jauh!” balas yang lain sambil memberi arahan kepada kumpulan mereka.

  Mereka mula menyebar, tetapi mujurlah, mereka tidak menghala ke arah kami. Aku menoleh ke arah Area, yang sedang memberi isyarat supaya kami terus diam.

  Selepas beberapa minit yang terasa seperti berjam-jam, keadaan menjadi sunyi kembali. Kami akhirnya keluar dari semak dengan perlahan-lahan, memastikan tiada sesiapa di sekitar.

  “Kita kena teruskan berjalan,” kata Area dengan suara perlahan.

  Aku mengangguk, masih terasa adrenalin di seluruh tubuhku. Kami meneruskan perjalanan, menyusuri hutan kecil itu hingga akhirnya tiba di sebuah jalan sunyi yang tidak beraspal.

  “Arah mana sekarang?” aku bertanya sambil memandang ke kiri dan kanan.

  Area mengeluarkan telefon bimbitnya, memeriksa peta digital dengan cepat. “Kita ke arah sini,” katanya sambil menunjuk ke arah barat.

  Aku mengikutinya tanpa banyak bertanya, tetapi fikiranku dipenuhi pelbagai soalan. Kenapa mereka boleh berada di sini? Kenapa mereka mahukan beg ini? Apa sebenarnya yang kami bawa?

  “Apa awak rasa ada dalam beg ni?” tanyaku akhirnya, memecah kesunyian.

  Area tidak menjawab segera. Dia hanya memandang ke hadapan, wajahnya kelihatan serius. “Saya tak tahu, Adam. Tapi kalau mereka sanggup kejar kita sejauh ini, pasti sesuatu yang penting.”

  Aku mengangguk, tidak mahu mendesaknya lebih jauh. Kami terus berjalan hingga akhirnya tiba di sebuah taman. Area berhenti di hadapan pintu taman itu dan memandangku.

  “Saya tak percaya kita berjaya,” kata Area, tersandar di bangku kayu.

  Aku meletakkan beg itu di pangkuanku, masih memandangnya dengan penuh rasa ingin tahu. “Sekarang, soalan paling penting… apa sebenarnya yang ada dalam beg ni?”

  “Saya rasa lebih elok kita berikannya kepada Mafi sebelum terlambat.”

  “Betul kata awak Area. Lebih baik kita hantarkan kepada mereka sebelum apa-apa masalah berlaku,” jawab ringkasku, menolak niat untuk mengetahui lebih lanjut.

  Suasana senja semakin menyelimuti kawasan sekitar, dan aku sempat mengerling jam tangan. Waktu menunjukkan pukul 19:12 petang. Hari sudah gelap, dan rasa cemas semakin memuncak—kami perlu bergegas menyerahkan beg itu kepada lelaki yang menunggu.

  Setibanya di depan rumah lelaki itu tepat pukul lapan malam, kami berdiri dengan rasa resah. Rumah ini terletak di kawasan sunyi, dengan lampu porch yang suram dan suasana sepi yang hanya dipecahkan oleh bunyi cengkerik. Area menekan loceng pintu, dan beberapa saat kemudian, pintu kayu yang berat itu berderit terbuka. Lelaki itu muncul dengan tatapan curiga, meneliti kami dari kepala hingga kaki. Kami menyerahkan beg yang dimintanya tanpa banyak bicara. Namun, ekspresi wajahnya berubah ketika dia melihat keadaan kami yang berdebu dan pakaian yang koyak-koyak.

  “Kenapa lambat? Apa yang terjadi pada kamu berdua?" dia bertanya sambil mengambil beg dari tangan Area.

  Area mengambil langkah ke depan untuk menjawab. "Kami menggunakan jalan jauh untuk sampai ke sini. Kami terpaksa tunggu malam tiba untuk membiarkan suasana sunyi sebelum kami ke sini," katanya ringkas, tetapi suaranya terdengar stabil dan sedikit tajam, mencerminkan keletihan dan tekad yang bercampur menjadi satu.

  Namun, sebelum lelaki itu dapat berkata apa-apa lagi, Area menyambung, kali ini nadanya lebih serius. “Sebenarnya, apa yang ada dalam beg ini? Dan kenapa geng terbesar di kota cuba mendapatkannya?” Pertanyaan itu menggantung di udara, membuat suasana di antara kami terasa semakin tegang. Aku menahan napas, menyedari betapa beraninya Area mengajukan soalan seperti itu kepada lelaki yang jelas-jelas memiliki kuasa besar.

  Lelaki itu tidak segera menjawab. Sebaliknya, dia tersenyum samar sebelum berkata dengan nada lembut seakan-akan menyindir, “Bukankah kamu sendiri yang mahu ikut campur urusan kami kebelakangan ini, Area? Demi uang untuk menjaga keluarga kamu, kamu sanggup berhutang ke sana-sini dari samseng sekitar agar dapat bertahan hidup. Parahnya lagi, kamu sanggup melakukan hal kotor semata-mata untuk mendapatkan uang.”

  Kata-kata itu menghujam seperti duri tajam ke dalam hati Area, dan aku dapat melihat raut wajahnya berubah—matanya sedikit membesar, rahangnya mengetap. Dia terdiam, tetapi lelaki itu tidak berhenti. “Adakah kamu mahu mengikuti jejak ayahmu?” tanyanya perlahan dengan nada yang cukup untuk menusuk jiwa. “Jadi soalan yang kamu tanyakan tidak akan ada balasannya,” tambahnya lagi.

  Setelah beberapa saat hening, Area akhirnya membuka suara, matanya menatap lurus ke arah lelaki itu. “Saya cuma melakukan kerja yang ada di dalam senarai ini. Untuk hari ini, saya tidak ada kaitan dengan geng kejiranan ni. Seperti yang dijanjikan, mana duitnya?" katanya dengan nada yang tegas dan serius, tanpa ragu sedikit pun.

  Lelaki itu tersenyum tipis, seperti seseorang yang menikmati permainan kuasa. Dia menyimpan beg itu ke dalam rumahnya dengan gerakan yang santai, sengaja memperlihatkan rasa tidak tergesa-gesa, seolah-olah ingin memancing lebih banyak emosi dari Area. Setelah itu, dia mengeluarkan sejumlah wang dari dompetnya. Sebelum Area dapat merampasnya dengan kasar, lelaki itu menatapnya dengan senyum dingin. “Kamu beruntung, Area. Aku masih berbaik hati,” katanya sebelum menyerahkan wang tersebut.

  Area merampas wang itu tanpa banyak bicara, lalu kami berbalik meninggalkan rumah itu. Perjalanan pulang terasa lebih sunyi. Kami menaiki kereta api menuju kawasan perumahan, duduk di dalam gerbong yang hampir kosong. Sepanjang perjalanan, Area tidak berkata apa-apa. Wajahnya kosong, matanya menatap ke luar jendela seolah-olah sedang mencari sesuatu yang tidak terlihat oleh orang lain. Aku pula tidak berani bertanya, takut akan menimbulkan masalah atau membangkitkan kemarahan Area. Dalam diam, aku hanya berharap dia baik-baik saja, meskipun hatiku penuh tanda tanya.

  Kami akhirnya tiba di persimpangan jalan yang memisahkan laluan menuju rumah masing-masing. Area, dengan langkah sedikit tergesa, menuju ke arah kanan, sementara aku mengambil jalan ke kiri. Namun, sebelum kami benar-benar berpisah, aku tidak dapat menahan diri untuk bertanya.

  “Area, sebenarnya, kenapa dengan lelaki itu?” soalku, suaraku cuba sedingin mungkin, walaupun hati bergelora dengan rasa ingin tahu.

  Langkah Area terhenti. Dia berdiri diam beberapa saat sebelum perlahan-lahan berpaling ke arahku. Wajahnya sukar dibaca di bawah cahaya suram lampu jalan, tetapi matanya tampak tajam, penuh misteri.

  “Awak tak perlu risau tentang tu, Adam. Mereka memang suka bermain kuasa. Jadi awak janganlah fikir banyak tentang mereka," jawabnya ringkas. Nada suaranya tegas, seolah-olah cuba menutup ruang untuk perbincangan lebih lanjut.

  Dia segera berpaling semula dan meneruskan langkahnya, namun aku masih belum puas. Aku bertanya lagi, kali ini dengan nada lebih hati-hati.

  “Macam mana dengan tiga orang lagi?”

  Sekali lagi, Area berhenti. Dia berpaling semula, tetapi kali ini ada senyuman kecil di bibirnya.

  “Saya akan uruskannya,” katanya. Hanya itu.

  Setelah berkata demikian, dia berbalik dan melangkah pergi. Aku hanya mampu berdiri memerhatikan dia berlalu pergi, menyedari bahawa dia mungkin menyembunyikan sesuatu dariku. Dari kejauhan, siluet Area semakin pudar, akhirnya lenyap sepenuhnya ke dalam bayangan gelap malam. Aku menarik napas panjang, cuba menenangkan perasaan yang berkecamuk.

  “Mungkin ini masalah peribadinya... dan aku tak patut masuk campur urusan Area dengan kejiranan samseng,” fikirku, cuba meyakinkan diri sendiri walaupun hati kecilku berbisik sebaliknya. Namun, aku memilih untuk tidak menyoal lebih jauh.

  Aku melihat ke arah jalan di hadapanku, menyedari bahawa malam sudah semakin larut. Tanpa membuang masa, aku meneruskan langkahku menuju rumah. Saat sampai, pakaian yang aku kenakan masih menunjukkan kesan dari tugasan tadi—kotor, penuh debu, dan sedikit robek di beberapa tempat. Namun, aku merasa sedikit lega. Untungnya, pakaian sekolahku ada di markas Hate. Jadi, aku tidak perlu risau tentang penampilan esok pagi.

  Aku memutuskan untuk singgah ke markas esok untuk mengambilnya. Dengan perasaan bercampur-aduk antara keletihan dan rasa ingin tahu yang belum terjawab.

  Peristiwa semalam masih bermain di fikiran, membuatkan langkahku terasa berat. Namun, aku tiada pilihan selain masuk ke dalam. Aku perlu membersihkan diri dan mencari ketenangan.

  Dengan perlahan-lahan, aku memulas tombol pintu, cuba mengelakkan bunyi yang terlalu kuat. Pintu itu terbuka sedikit berkeriut, dan aku segera menutupnya kembali dengan cermat. Dalam gelap, aku melangkah ke ruang tamu, bergantung kepada cahaya samar dari telefon bimbitku untuk menyorot jalan.

  Setelah beberapa langkah menuju bilik mandi, tiba-tiba lampu ruang tamu menyala. Aku tersentak melihat kakakku berdiri di hadapanku. Wajahnya jelas menunjukkan riak tidak puas hati.

  “Adam, ke mana kau pergi?” tanyanya dengan suara tegas, matanya menatapku tajam.

  Aku diam seketika, cuba mengatur kata-kata. Namun, daripada menjawab, aku memilih untuk berlalu ke bilik mandi. Tapi dia segera menghalang langkahku, berdiri teguh di hadapan.

  “Adam cuma jalan-jalan sekitar bandar,” jawabku pendek, cuba menenangkan keadaan.

  “Dan?” dia memotong, memaksa aku menjelaskan lebih lanjut.

  “Cuma itu saja.”

  Tanpa menunggu lebih lama, aku menyelinap ke bilik mandi. Namun, di dalam bilik mandi, rasa kesal mulai menyelubungi diri. Aku termenung, memikirkan bagaimana caranya untuk menyerahkan wang yang telah aku kumpulkan kepada kakak semula. Adakah malam ini waktu yang sesuai, atau patut aku menunggu peluang lain?

  Selepas membersihkan diri, aku menuju ke dapur mencari sesuatu untuk dimakan. Dari dapur, aku dapat melihat kakakku masih duduk di ruang tamu. Dia kelihatan termenung, fikirannya tidak menentu.

  Aku cuba mendekatinya, tetapi dia segera bangkit dan melangkah ke tingkat atas menuju biliknya. Aku hanya mampu memandang, sebelum membuat keputusan untuk menyelesaikan perkara ini malam ini juga.

  Aku mencapai beg kecil yang berisi wang hasil daripada tugas bersama Area tadi. Dengan hati-hati, aku menaiki tangga menuju ke bilik kakak. Sampai di depan pintu, aku mengetuk perlahan. Suara lembut kakak menyuruh aku masuk.

  “Kenapa, Adam?” soalnya sebaik sahaja aku melangkah masuk.

  Aku menarik nafas panjang sebelum menjawab, “Adam nak minta maaf sebab dah habiskan duit yang kakak simpan sebelum ni.”

  Aku mengeluarkan beg kecil itu dari dalam poketku. “Adam dah usaha dapatkan duit ni untuk gantikan balik duit kakak.”

  Kakakku terdiam. Dia tunduk memandang lantai sejenak sebelum bangun dari tempat duduknya dan melangkah perlahan ke arahku.

  “Kenapa kamu buat semua ni? Dari mana kamu dapatkan duit ni?” soal kakak, dengan nada bercampur bimbang dan ingin tahu.

  “Adam kerja untuk sehari. Buat apa yang patut, semata-mata nak ganti balik duit kakak. Mungkin tak cukup setidaknya Adam akan cuba untuk kumpulkan lagi.”

  Dia memandangku lama, seolah-olah cuba membaca keikhlasan dalam kata-kataku. “Kamu tak keluar dengan mereka, kan?”

  “Untuk hari ni, tak,” balas ringkas ku yang akikatnya palsu.

  Dia mengangguk perlahan, kemudian mengambil beg kecil itu dari tanganku. Dia melangkah kembali ke katil dan duduk, membuka beg itu sambil berdiam diri.

  “Adam,” katanya selepas beberapa ketika. “Kakak tahu kamu ada bakat. Tapi kenapa kamu tak gunakan bakat tu untuk sesuatu yang lebih baik?”

  Aku hanya diam, memandangnya dari tempat aku berdiri di depan pintu.

  “Kakak tak mahu kamu terus terlibat dalam hal-hal yang boleh mencederakan diri kamu. Tolonglah, hentikan semua ni sebelum terlambat.”

  Nada suaranya lembut dan penuh harapan. Aku hanya mampu mengangguk.

  “Baiklah,” kataku perlahan. “Adam janji tak akan buat apa-apa yang boleh menimbulkan masalah lagi lepas ni.”

  Aku melangkah keluar dari bilik kakak, menutup pintu dengan perlahan. Dari balik pintu, aku tahu dia masih memandangku, tetapi tiada lagi kata-kata yang terluah.

  Malam semakin larut, dan badanku terasa amat letih. Aku rebahkan diri ke atas katil, menarik selimut menutupi badan. Harapanku sederhana — semoga esok hari berlalu tanpa sebarang masalah. Dengan fikiran itu, aku perlahan-lahan terlelap, tenggelam dalam gelap malam yang sunyi.

Recommended Popular Novels